Minggu lalu saya ada menulis betapa perlunya Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa turun padang memantau
harga barangan kerana kemungkinan besar peniaga-peniaga akan menaikkan
harga barangan dan makanan sesuka hati ekoran pengumuman kenaikan harga
petrol sebanyak 20 sen seliter.
Dan kita pun memang menjangkakan perkara itu pasti berlaku. Sehingga
kini kementerian berkenaan telah menerima beberapa aduan berlakunya
kenaikan harga di sana sini.
Seorang teman bercerita kepada saya, berkuatkuasa saja kenaikan harga
itu pada pukul 12 malam Isnin baru-baru ini, keesokkannya hari Selasa
pada pukul 8 pagi di sebuah warung nasi lemak di Pantai Dalam, Kuala
Lumpur, seorang mak cik yang biasanya menjual nasi lemak berharga RM2.50
sebungkus, mulai hari itu menaikkannya sebanyak 50 sen.
Apabila ditanya kenapa naik sehingga 50 sen, mak cik itu menjawab:
Kan minyak petrol sudah naik malam tadi? Tak tengok berita kah?
Barang-barang pun naiklah."