Sejak awal lagi, umum menyedari bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) N.25
Kajang adalah satu sandiwara. Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
tersebut kosong bukannya disebabkan penyandangnya meninggal dunia atau
hilang kelayakan, tetapi semata-mata untuk membolehkan PKR melaksanakan
satu percaturan politik yang disebut sebagai Kajang Move.
Kononnya PRK Kajang adalah satu langkah politik yang penting lagi
simbolik untuk membolehkan pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya
daripada Barisan Nasional (BN).
Walaupun secara warasnya kedudukan Kajang yang hampir dengan
Putrajaya tiada kaitan langsung dengan logik yang dicanang oleh
pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya, tetapi itulah yang dijaja
oleh para arkitek Kajang Move sebagai penyedap cerita.
Kononnya, apabila menang kerusi DUN Kajang, Anwar akan dinobatkan
sebagai Menteri Besar Selangor dan seterusnya memimpin pakatan
pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).