Darahsatriadotcom

Thursday, 21 March 2013

Adoyai... Dilema PAS Cari ‘Fotostat’ Ganti Nik Aziz



Malam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada Mac 2004 cukup perit untuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Beliau cemas dan mukanya pucat apabila mendapat khabar Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga daripada 45 kerusi DUN Kelantan.

Pengikut PAS memenuhi kawasan ibu pejabat parti di Jalan Dato Pati, Kota Bharu untuk mendapat kepastian. Mereka nampak Menteri Besar Kelantan itu rimas dan nanar dalam keadaan mundar mandir. Apabila keputusan mengesahkan bahawa PAS menang dengan majoriti tiga kerusi, penyokong PAS bertakbir tetapi Nik Aziz demam.

Cerita beberapa pemimpin PAS (‘Tiga Abdul’) mahu menjatuhkan Nik Aziz sebagai MB sekitar 1999-2000 hampir sama dengan konspirasi politik yang sedang dihadapi Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Azizan Razak. Nik Aziz juga pernah disiasat atas dakwaan menyalahguna kuasa. Mutakhir ini, beliau hebat dikritik dan dikecam pemimpin dan ahli PAS berhubung pendiriannya dalam soal pakatan dengan DAP, isu kalimah Allah, pengambilan tanah dan pencerobohan hak Orang Asli dan bermacam lagi.

Namun, serangan peribadi dan intrig politik bukanlah sebab Nik Aziz akan bersara atau meletakkan jawatan. Faktor umur dan kesihatan adalah punca utama. “Saya sudah tua. Bila tua, adat kata akan mati. Kalau tidak mati pun, uzur. Selalu sangat ulang alik ke hospital. Keuzuran yang saya alami ini semakin hari semakin banyak,” katanya kepada penyokong di Lata Chiku, Gua Musang suatu ketika dulu.

“Saya selalu mengingatkan orang PAS agar jangan banyak sangat memuji saya atau memusatkan perhatian kepada diri saya saja. Sekiranya ditakdirkan Allah sama ada saya mati atau terbunuh, maka akan timbul kekosongan di dalam saf kepemimpinan kita.”

Tiada barisan pelapis

Pada usia 83 tahun, era kepemimpinan Nik Aziz berada di penghujung. Menjadi MB Kelantan ketujuh pada 21 Oktober 1990, ini adalah tahun ke-23 beliau memegang jawatan itu, orang kedua paling lama selepas Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Nampaknya, pembabitan Nik Aziz sebagai calon di DUN Cempaka dalam PRU-13 adalah yang terakhir baginya. Hasrat untuk bersara pernah dinyatakannya namun pemerhati politik berpendapat Nik Aziz kemungkinan besar mati dalam jawatan.
 
“Bersara daripada jawatan Menteri Besar ada saya fikirkan, tapi bukan dari politik. Orang Islam tidak boleh bersara daripada politik. Islam datang ke dunia untuk memperbetulkan keadaan manusia, itulah kerja politik.” Katanya lagi: “Ambo terima kasih kalau parti tak beri ambo (pegang) sebagai MB sebab ambo tak suka ke pejabat. Minat ambo sebenarnya mikrofon. Tu minat ambo. Kalu orang tak beri ambo ceramah, ambo kecik hati.”

Mengenai pengganti beliau, pelbagai spekulasi dibuat, namun tokoh pilihan belum jelas. Ini juga membimbangkan Nik Aziz, yang sedar perlunya menyiapkan barisan pelapis yang dapat menyambung perjuangan parti. Proses ini memakan masa yang lama, sehingga puluhan tahun. Individu yang baru naik dan terus dijadikan pemimpin tidak dapat bertahan lama.

Nik Aziz berkata, bakal penggantinya adalah kalangan EXCO, yang beliau anggap sebagai murid. Walaupun latar belakang dan kemahiran mereka berbeza, Nik Aziz percaya mereka sudah bersedia menggantinya selepas sekian lama bersama dan belajar daripadanya.

“Hendak mencari orang yang benar-benar bentuknya fotostat Nik Aziz, mana boleh. Orang lain, bakatnya lain tapi berpaut pada Islam juga. Saya tidak akan kata ‘Tuan-tuan mesti tiru saya’, tidak boleh. Bodoh saya kalau saya berkata demikian. Mereka (EXCO) itu pelapis sayalah tu, setiap hari saya perturunkan (ilmu). Takkanlah kalau saya tidak ada, orang lain tak boleh ganti.”

Tokoh berhajat hipokrit

Namun, mereka yang rapat dengan Nik Aziz tidak yakin. Sasterawan Dinsman, misalnya, berkata madrasah politik 23 tahun di bawah pemerintahan Nik Aziz tidak berjaya melahirkan pemimpin yang sepadan atau dapat menandingi kebolehan dan keperibadian Tok Guru. 

Penganalisis politik Mohd Sayuti Omar, dalam buku terbarunya berkata, usaha melahirkan pelapis Nik Aziz tidak pernah dilakukan secara langsung atau serius oleh PAS. Kebanyakan calon dan tokoh yang berhajat menggantikan Nik Aziz adalah hipokrit. Mereka yang cuba menampakkan peribadi dan berpakaian ala-Tok Guru sebenarnya lakonan hujung minggu saja.

“Kalau berada di Kelantan, mereka tidak akan membuang kopiah dan nampak zuhud. Tapi selepas saja melewati sempadan Kelantan di Gua Musang atau Jerteh atau Golok atau Takbai, kopiah mereka entah hilang ke mana.”

Beliau pernah bertemu seorang EXCO Kelantan yang sembunyikan kopiah dalam poket seluar ketika membeli-belah di Kompleks Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Jelasnya, masalah utama pemimpin pelapis dalam kalangan ulama ialah kelemahan dalam kemahiran mentadbir dan iktisad serta jahil dalam strategi politik moden, manakala dalam kalangan EXCO berlatar belakang profesional pula, kehebatan mereka cuma dalam satu aspek saja.

“Pemimpin PAS hari ini malas untuk mendalami ilmu. Sesetengahnya lebih rajin untuk mempelajari taktik dan kaedah memanipulasi projek untuk diri dan kroni.” 

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...