Darahsatriadotcom

Tuesday, 19 March 2013

Luahan Hati Dari Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan


 Patriotisme Menjamin Masa Depan

http://www.utusan.com.my/pix/2013/0317/Utusan_Malaysia/Rencana/re_01.1.jpg
Marilah kita bersama-sama dengan anggota-anggota pasukan keselamatan 
mempertahankan negara ini dari segala bentuk ancaman. Pegawai agama daripada 
Markas 5 Briged Kem Lok Kawi Mejar Anuar Mat Zain (tiga dari kiri) berpelukan 
dengan Pengurus Felda Sahabat 48, Mohd Sadri Yahya sambil diperhatikan 
oleh penduduk kampung selepas menunaikan solat Jumaat 
di perkarangan Masjid Nurulain Cenderawasih, Lahad Datu, Sabah.


Saya memilih untuk menulis pada kali ini setelah melihat seramai 10 orang wira negara terkorban dalam mereka berjuang mempertahankan kedaulatan Malaysia di Pantai Timur Sabah. Pada saya, perkembangan yang telah berlaku memerlukan penelitian yang terperinci.

Saya dapat merasai betapa luluhnya hati kaum keluarga apabila menerima berita orang yang tersayang telah gugur di medan juang.

Saya sendiri pernah mengalami keadaan apabila seorang anggota tentera daripada pasukan saya terkorban ketika kami melaksanakan gerakan membanteras segerombolan komunis di sempadan Semenanjung dan Selatan Thailand.

Ketika menghantar jenazah anggota tersebut ke rumah keluarganya, jelas dapat dilihat kesedihan yang menyeluruh bukan sahaja dalam kalangan ahli keluarga, malahan seluruh penduduk kampung.

Saya amat sedih apabila melihat anak kecil yang ketika itu berumur 4 tahun yang tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku kepada bapanya. Anak kecil itu cuma boleh berlari ke sana ke mari tanpa menyedari bahawa masa depannya akan dilalui tanpa seorang bapa.

Melihat apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di Lahad Datu, adalah wajar untuk kita semua insaf bahawa perwira-perwira negara telah banyak berkorban demi menjamin kedaulatan bangsa, agama dan tanah air. Di era Perang Dunia Kedua, kita perlu sedar bahawa anak bangsa kita telah sanggup menggadai nyawa mempertahankan negara ini hingga ke titisan darah yang terakhir.

Di zaman darurat pula, beribu-ribu anggota pasukan keselamatan terkorban ataupun tercedera dalam melaksanakan tugas operasi membanteras kezaliman pengganas-pengganas komunis.

Adanya kesungguhan dan pengorbanan yang sedemikian telah membawa negara berjaya memaksa pengganas komunis meletakkan senjata mereka. Tetapi perlu diingat perjuangan tersebut mengambil masa lebih daripada 40 tahun.

Kita juga mampu mempertahankan negara di era konfrantasi dengan Indonesia. Kejayaan-kejayaan berkaitan diperoleh dengan adanya sokongan dan perpaduan daripada majoriti rakyat.

Malangnya, negara kita juga telah melalui peristiwa berdarah '13 Mei 1969'. Kita menyesal berlakunya peristiwa tersebut dan rata-ratanya tidak ingin lagi mengalami keadaan yang serupa. Kini tidak sepatutnya wujud sebarang niat oleh mana-mana pihak, atas alasan apa sekalipun untuk melihat kembali peristiwa sedemikian berlaku di negara ini.

Dimensi

Perkembangan di Lahad Datu jelas memperlihatkan kepada kita bahawa negara tidak boleh lari daripada menghadapi ancaman yang bersifat pelbagai dimensi. Ancaman-ancaman ini boleh berlaku daripada kedua-dua perspektif iaitu dalaman dan luaran.

Bentuk ancamannya pula tidak akan lagi semata-mata bersifat konvensional. Ia boleh berada dalam pelbagai bentuk. Perlu diambil kira, Malaysia masih berhadapan dengan isu-isu persempadanan maritim ataupun daratan dengan beberapa negara. Setengahnya pula adalah amat rapuh dan sensitif.

Persoalannya, adakah kita berlaku adil jika sekiranya tanggungjawab menjamin keselamatan dan pertahanan negara hanya diletakkan di bahu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja.

Adalah menjadi tanggungjawab kesemua rakyat jelata untuk sama berganding bahu memikul tanggungjawab menyelamatkan negara daripada sebarang bentuk ancaman. Masyarakat boleh bertindak memberi maklumat segera kepada pihak berkuasa apabila dilihat wujudnya sebarang elemen yang dianggap boleh menjejaskan ketenteraman negara.

Sebagai contoh, kejayaan membanteras Kumpulan Al-Maunah bermula apabila pihak berkuasa menerima maklumat daripada seorang penduduk tempatan bahawa dia terdengar bunyi tembakan senjata api di sekitar Kampung Jenalek. Kita bernasib baik kerana ada dalam kalangan masyarakat yang memilih untuk sama bertanggungjawab demi kepentingan keselamatan negara. Mengapa sikap yang sama tidak dijadikan amalan harian di kalangan masyarakat umum di negara ini.

Yang pasti, pergerakan penceroboh di Lahad Datu sudah terdahulu diketahui oleh sebilangan masyarakat setempat. Soalnya, kenapa tidak dilaporkan atau pun kenapa lewat dilaporkan? Mengambil kira pengajaran dari apa yang berlaku di Lahad Datu, sudah tiba masanya untuk kita semua menyedari bahawa peranan kita untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa adalah amat penting terutama dalam keadaan kawasan sempadan negara adalah terlalu luas hingga menjangkau beribu-ribu kilometer.

Sudah tiba masanya untuk semua rakyat Malaysia bersatu padu memberi sokongan yang menyeluruh dalam tindakan kerajaan membanteras penceroboh dan pengganas yang sedang kita hadapi di Pantai Timur Sabah.

Kita juga perlu sama-sama asingkan pergolakan di Lahad Datu daripada pendirian politik masing-masing.

Menuding jari antara satu sama lain dengan menggunakan landasan politik tidak langsung membantu meredakan keadaan. Malah keadaan ini memberi ruang untuk dieksploitasikan oleh negara luar mengikut versi masing-masing dengan menokok tambah berita-berita yang sengaja diadakan untuk memenuhi agenda mereka yang tersendiri.

Tanggapan

Perlu diingat bahawa perkembangan yang ada di Lahad Datu pada hari ini boleh menyebabkan masyarakat antarabangsa mudah membuat tanggapan yang tertentu terhadap Malaysia. Lebih malang lagi apabila ada antara kalangan masyarakat kita yang sengaja mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menjejaskan imej Malaysia.

Tindakan Kerajaan menubuhkan ESSCOM (Eastern Sabah Security Command) untuk menjaga keselamatan Pantai Timur Sabah adalah amat tepat pada waktunya. Bagi membolehkan penubuhannya berjaya memenuhi objektif yang ditetapkan, maka perancangan untuknya perlulah disusun secara teliti dan terperinci.

Pelaksanaannya pula perlulah dibuat secara profesional serta dengan penuh komitmen. Kesungguhan dan keikhlasan perlu wujud di kalangan semua anggota yang berada di bawah naungan ESSCOM.

Bantuan logistik serta peralatan mestilah berpadanan dan mencukupi. Kemampuan perisikan perlulah menyeluruh. Ini mengambil kira keadaan persekitaran yang sukar diawasi pada setiap waktu.

Kemampuan dalam bidang gerak saraf mesti juga diberi kepentingan. Ini untuk menjamin masyarakat sekitar agar sentiasa bersedia bekerjasama dan menyokong segala usaha yang dilaksanakan.

Kejayaan membanteras komunis oleh pihak RASCOM (Rajang Area Security Command) boleh dijadikan model sebagai panduan. Mereka yang mempunyai pengalaman ketika bertugas dengan RASCOM perlu dijemput untuk memberi pandangan serta idea dalam memperkukuhkan kemampuan ESSCOM.

Kita perlu ingat bahawa kestabilan negara adalah penting untuk menjamin masa depan anak-anak. Kita semua mempunyai tugas dan tanggungjawab yang penting. Janganlah kita mempersia-siakan kestabilan negara yang ada pada hari ini.

Janganlah kita mudah terpengaruh dengan unsur-unsur yang tidak berasas. Marilah kita sama-sama berjanji untuk membanteras segala elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan kepentingan negara.

Marilah kita bersama-sama dengan anggota-anggota pasukan keselamatan mempertahankan negara ini daripada segala bentuk ancaman. Semua peringkat rakyat jelata juga hendaklah sentiasa bersedia memberi sokongan apabila wujud keperluan untuk mempertingkatkan kemampuan dalam menjamin kepentingan keselamatan dan pertahanan negara.

Kenapa tidak rakyat Malaysia berpegang dengan semangat patriotik seperti yang dianuti oleh bekas-bekas anggota polis dan tentera. Walaupun ada yang telah lama bersara, namun mereka masih kukuh dengan semangat juang masing-masing.

Melalui pengalaman yang telah saya tempuhi, saya menyeru semua pihak agar bersatu kukuh dengan semangat patriotik dalam menjamin kepentingan keamanan, pertahanan dan kedaulatan negara.

Oleh : LT. JENERAL (B) TAN SRI WAN ABU BAKAR OMAR

Penulis adalah bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan.


<!--[if !supportLineBreakNewLine]-->
<!--[endif]-->

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...