Darahsatriadotcom

Friday, 22 March 2013

Nasihat Orang Lama : Usah Pertikai Perjuangan Rakan Seagama

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyelar sikap segelintir orang Islam yang mempertikaikan perjuangan rakan seagama mereka yang sanggup berkorban demi mempertahankan agama.

Beliau berkata, Islam sepatutnya perlu diselamatkan oleh penganut agamanya sendiri dengan masing-masing berpegang teguh dengan ajaran tersebut.

Namun jelasnya, keadaan itu tidak berlaku malah taraf kematian pejuang Islam terbabit pun mahu dipertikaikan sama ada mereka mati syahid atau sebaliknya.


"Sekiranya mereka terbunuh ketika berperang, adakah kematian itu tidak kerana Islam disebabkan mempertahankan agama?

"Kita kesal apabila masih ada pertikaian sama ada mereka itu syahid atau tidak, mereka ini menghadapi musuh yang ganas bukan sahaja membunuh tetapi mereka memancung kepala dan membelah perut, tidakkah itu pun tidak mahu bagi penghormatan, berpegangkah kita pada ajaran Islam?," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis bual bicara bersama tokoh negarawan itu anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim memberitahu, keadaan umat Islam hari ini amat menyedihkan dan berada dalam kemiskinan sehingga mereka mudah ditindas serta senang ditakluki.

Lebih menyedihkan, jelas beliau, ada antara umat Islam negara lain yang datang ke negara ini diberi layanan baik serta diberi taraf kewarganegaraan tetapi mereka sedikit pun tidak berterima kasih malah menceroboh dan membunuh pasukan keselamatan negara.

"Masyarakat Islam di negara ini sepatutnya tidak wujud perselisihan faham kerana berpegang fahaman yang satu tetapi malangnya kerana ingin mendapat sokongan politik, mereka sanggup mendakwa orang Islam lain sebagai kafir," katanya.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir menyeru para pendakwah di negara ini mengubah strategi dan metodologi yang diguna pakai sebelum ini untuk menyampaikan Islam mengikut ajaran sebenar agama.

Katanya, mereka perlu berfikir cara berdakwah yang menceritakan kejayaan diri sendiri sehingga masyarakat bukan Islam boleh mengagumi tanpa memberi gambaran salah tentang Islam.

Sumber : Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...