Darahsatriadotcom

Thursday, 4 April 2013

Anwar Dabik Dada Silap Era...

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu mendabik dada mengatakan beliau ‘berjaya’ mengurangkan hutang negara ketika memegang jawatan Menteri Kewangan kerana dunia ketika itu tidak berdepan krisis ekonomi global.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata situasi pada zaman Anwar menjadi Menteri Kewangan jauh berbeza berbanding sekarang berikutan keadaan ekonomi yang berubah.“Dulu masa Anwar menjadi Menteri Kewangan, mana dia ada krisis ekonomi dunia. Jadi situasi itu tidak boleh dibandingkan dengan sekarang, ia sudah ketinggalan zaman.

Dulu masa Anwar menjadi Menteri Kewangan, mana dia ada krisis ekonomi dunia. Jadi situasi itu tidak boleh dibandingkan dengan sekarang, ia sudah ketinggalan zaman, cabaran dulu dan sekarang adalah jauh berbeza," Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua

“Sekarang ini cabaran sangat besar. Dalam sejarah ekonomi dunia, sejak 1993 selepas berlaku krisis, (zaman) ini paling teruk,” katanya selepas menyampaikan surat kelulusan pembinaan surau baru Taman Meru 2C, Jelapang, dekat sini, semalam.

Beliau mengulas isu dimainkan pembangkang mendakwa negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh sepanjang 1992 hingga 1997 ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan, berbanding ketika Datuk Seri Najib Razak memegang jawatan itu.

Dakwa hutang melonjak

Isu yang dimainkan mendakwa hutang negara kini melonjak sehingga RM456 bilion berbanding zaman Anwar iaitu RM97 bilion pada 1992 kepada RM89 bilion pada 1997.
Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, jika janji yang digembar-gemburkan pembangkang menerusi manifesto mereka dilaksanakan dalam pengurusan dasar ekonomi dan kewangan negara, pembangkang memerlukan pinjaman sebanyak RM115 bilion.

“Mereka perlu pinjam RM115 bilion, sedangkan kerajaan dijangka membuat pinjaman hanya RM39 bilion, itupun untuk pembangunan. Sebagai perbandingan, kerajaan kini mempunyai lebihan operasi RM6.7 bilion, tetapi jika manifesto pembangkang dilaksanakan menyebabkan defisit RM66.14 bilion.

“Ini adalah sesuatu pembangkang sebenarnya tidak boleh lakukan. Mereka hanya membuat janji untuk mendapatkan kuasa,” katanya yang mendakwa pembangkang sudah membuktikan rekod sebelum ini yang gagal melaksanakan manifesto pilihan raya umum 2008 di Selangor.

Katanya, tidak menghairankan apabila pengurusan kewangan dan ekonomi di Malaysia mampu menjadi contoh kepada beberapa negara dunia lain yang berdepan krisis ekonomi yang serius.

Cabaran berbeza

“Mereka ingin belajar dengan kita... masa Anwar dulu siapa nak jadikan contoh. Lagipun masa dulu adalah berbeza... dulu mana dia (Anwar) ada bercakap mengenai ekonomi kreatif, value management dan inovatif.

“Sekarang, semua itu digunakan. Jadi, cabaran dulu dan sekarang adalah jauh berbeza,” katanya.

Justeru, katanya, pembangkang tidak perlu menjanjikan manifesto fantasi kepada rakyat untuk meraih sokongan kerana ia semata-mata bersifat propaganda.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...