Darahsatriadotcom

Wednesday, 3 April 2013

Apa Sudah Jadi? Tian Chua Di Beri Penghormatan!

Tindakan pakatan pembangkang yang berterusan memberi penghormatan kepada Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua untuk kekal sebagai pemimpin, dilihat sebagai satu perkara yang pelik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar berkata, pengiktirafan yang diberikan oleh parti itu seolah-olah merestui tindakan Tian Chua yang sebelum ini menyifatkan kes pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara dan mainan politik UMNO.

Katanya, pemimpin seperti itu tidak layak untuk terus berada dalam arena politik negara, sekali gus menerajui negara yang sangat menyanjungi pengorbanan anggota keselamatan negara.

"Saya berasa sangat pelik dan kecewa apabila pihak pembangkang masih meletakkan barisan kepemimpinan seumpama ini yang tidak ada rasa simpati kepada anggota keselamatan negara," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan sumbangan Tabung Wira Negara di sini hari ini.

Yang hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Abdul Rahman Hussin.

Dalam majlis tersebut, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan Persatuan Nelayan Negeri menghulurkan bantuan sebanyak RM66,000 kepada tabung tersebut manakala Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM20,000; AgroBank (RM10,000); Lembaga Pertubuhan Peladang (RM9,000) dan Mardi (RM10,000).

Sementara itu, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyerahkan sebanyak 1,000 bungkus makanan dan 1,000 kilogram buah-buahan.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, tindakan kerajaan negeri Selangor memberi sumbangan kepada perajurit yang terkorban sebagai tindakan mahu mengaburi mata rakyat.

Menurutnya, selepas tindakan celupar Tian Chua menyatakan kes pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara UMNO, sumbangan kerajaan negeri Selangor dibuat demi menutup kesilapan barisan kepimpinan pihak pembangkang.

Katanya, kesilapan Tian Chua itu ternyata menimbulkan kemarahan masyarakat di seluruh negara terutama di daerah ini.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...