Darahsatriadotcom

Friday, 12 April 2013

DAP Mulakan Pengkhianatan!

Selepas berkali-kali cuba melembutkan pergeseran dalam soal penentuan calon, DAP akhirnya memberi kata dua kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada mengalah atau berdepan pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, walaupun pertembungan tiga penjuru itu dianggap pengkhianatan yang tidak harus berlaku dalam pakatan pembangkang namun beliau tidak menolak kemungkinan tersebut jika PKR enggan mengalah dengan tuntutan DAP.

Katanya, DAP mahu PKR menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata dalam Parlimen Alor Setar dan DUN Bakar Arang (Sungai Petani).

Parti itu juga mahu mengekalkan kerusi DUN Kota Darul Aman yang dimenangi dalam pilihan raya umum lalu serta DUN Derga yang didakwa Kok Wai telah mendapat persetujuan PKR.

"Kita akan tengok macam mana PKR menerima cadangan ini dan kita berharap mereka menerimanya dengan baik untuk memberi ruang kepada DAP demi semangat parti.

"DAP sedia bertanding di semua kerusi ini dan jika PKR tidak setuju, kemungkinan akan wujud pertandingan tiga penjuru," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik.

Dalam pilihan raya umum 2008, DAP hanya bertanding di kerusi DUN Kota Darulaman dan DUN Derga yang menyaksikan persaingan tiga penjuru antara DAP, PKR dan Gerakan setelah kedua-dua parti pakatan pembangkang itu enggan mengalah.

Sebelum ini, Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa merayu Pas melepaskan kerusi kepada DAP bagi membolehkan mereka turut menyerahkan satu kerusi kepada DAP namun Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 6 April lepas menegaskan tidak mahu berbuat demikian.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Kedah, Gooi Hsio Leong sebagai calon Parlimen Alor Setar.

Sementara itu, Kok Wai berkata, DAP akan meletakkan calon berwibawa dan disenangi masyarakat setempat di Parlimen Alor Setar.

"Kita merayu supaya PKR memikirkan semula calon mereka. Calon kami sangat dekat dengan komuniti di sini," katanya.

Tambah Kok Wai, DAP akan mengumumkan nama calon-calon di kesemua kerusi tersebut dalam masa terdekat setelah pembahagian kerusi dimuktamadkan kedua-dua parti.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Pengerusi DAP Perlis, Teh Seng Chuan sebagai calon di DUN Titi Tinggi dan Setiausahanya, Ooi Boon Beng di kerusi DUN Indera Kayangan dalam pilihan raya umum akan datang.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...