Darahsatriadotcom

Friday, 26 April 2013

Masih Relevankah Perjuangan PAS?


Perjuangan PAS kini telah jauh tersasar dari arah tuju utama mereka. Segala usaha dan tekad mereka kini hanyalah berkiblatkan tampuk pimpinan Putrajaya. Sekilas lipatan sejarah memperlihatkan suatu ketika dahulu mereka cukup taksub dalam mentarbiyah ahli dan juga memperjuangkan negara Islam. 
 
Atas sebab itu juga penyokong-penyokong PAS tidak gentar menghadapi apa sahaja rintangan. Malah suatu ketika dahulu, apa sahaja yang dilakukan tidak langsung mengharap sebarang ganjaran. Suruhlah mereka panjat pokok setinggi-tingginya untuk memasang bendera PAS, mereka akan berebut-rebut untuk melakukannya.

Semua ini lahir dari kepimpinan Haji Hadi Awang yang cukup istiqamah memperjuangkan penubuhan negara Islam. Kata-kata beliau dijadikan azimat buat penyokong-penyokong PAS berjuang di mana-mana sahaja tanpa rasa gentar.

“Kita rela kalah kerana melaksanakan Islam. Kita rela ditolak oleh rakyat kerana melaksanakan suruhan ALLAH. Apalah maknanya sebuah pemerintahan tanpa mendapat redha ALLAH!”

Di manakah bermula detik-detik signifikan yang telah mengubah hala-tuju perjuangan PAS mutakhir ini? Kenapakah dari sebuah kelompok yang konsisten memperjuangkan negara Islam boleh bertukar sekelip mata? Tokoh yang sama juga terlibat dalam mengemudi arah tuju baru PAS. Beliau pernah berkata pada Januari 2003:

“Justeru kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif terdahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan HUDUD di peringkat persekutuan. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini.”

Perubahan radikal yang dibawa oleh TGHA ini jelasnya adalah untuk memenuhi keperluan kesepakatan antara DAP dan juga PKR. Lazimnya DAP tidak sesekali akan berganjak dengan prinsip mereka yang menentang sekerasnya penubuhan negara Islam dan juga undang-undang hudud. Formula ini telah memberi pulangan kepada Pakatan Rakyat dalam PRU12.

Persoalannya sekarang, adakah wujud lagi keperluan bagi orang Melayu Islam menyokong PAS? 

Ini adalah kerana PAS tidak lagi berbeza dengan UMNO. Segala aspek yang kini diperjuangkan oleh PAS seperti Negara Berkebajikan telah lama diimplimentasi oleh Barisan Nasional. Malahan sekarang golongan ulama sudah semakin disisihkan oleh pimpinan utama PAS. Nama-nama besar seperti Ustaz Nasharuddin dan juga Hasan Ali disisihkan dan diganti dengan pemimpin yang lebih liberal pandangan mereka terhadap Islam.

Masih relevankah perjuangan PAS kini? 

Pendekatan liberal ini jelas terpancar apabila isu penggunaan kalimah suci ALLAH di dalam Kitab Injil berbahasa Melayu dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat. Hanya setelah menerima tamparan hebat oleh bukan sahaja golongan ulama dalam PAS malahan majoriti rakyat Islam, barulah PAS membatalkan sokongan mereka terhadap isu ini. Namun ini tidak memadamkan kesangsian Melayu Islam di Malaysia tentang keikhlasan PAS memperjuangkan Islam. 

Kesangsian tersebut semakin menebal apabila TGHA dilaporkan berkata pada 3.11.2012: 

“Kita mengikut kesesuaian termasuk melalui jangkaan penerimaan pengundi untuk menjamin kemenangan. Sebab itu kita tidak boleh dan tidak meletakkan calon bertanding begitu sahaja, kita mahu calon itu menang.”

Maka lengkaplah transformasi PAS dari sebuah parti yang berlandaskan Islam dalam segala aspek kepada sebuah parti demokratik liberal yang akan mengambil kira keperluan dan kesesuaian masa kini sehingga mengenepikan niat penubuhan negara Islam dan Hudud. 

Dengan kata lain, PAS bukanlah Parti Islam Se-Malaysia yang selama ini tegas memperjuangkan agenda-agenda Islam.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...