Barisan Nasional (BN) menggariskan enam faktor mengapa rakyat perlu terus memilih parti itu untuk menerajui kepemimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bagi memburu impian dan harapan rakyat serta negara.
Pertama, Malaysia memerlukan kerajaan stabil dan kuat bagi mempertahankan apa yang sudah dicapai dan meneruskan kesinambungan usaha kerajaan BN untuk kemakmuran negara. Kerajaan yang kukuh perlu untuk melaksanakan Agenda Transformasi Negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju.
Selain itu, kerajaan BN terbukti berkhidmat untuk rakyat dan percaya kepada keadilan sosial dan menjadi inklusif, menyentuh hati nurani, meningkatkan taraf hidup semua lapisan rakyat tanpa mengira keturunan dan agama.
Kedua, pencapaian kerajaan selama 55 tahun tidak boleh dinafikan dengan rekod BN sebagai parti yang mempunyai pencapaian mantap dengan menunaikan segala janji.
Hasilnya, kerajaan diterajui BN membawa kemakmuran kepada setiap masyarakat dan rekod kecemerlangan ini akan diteruskan. Sehubungan itu sekarang bukan masa untuk membuat uji kaji demi masa depan rakyat.
Penambahbaikan
Selain itu, BN sudah membuktikan keupayaan dengan sentiasa melakukan penambahbaikan dengan sepanjang empat tahun lalu banyak kemajuan besar dicapai untuk meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian.
Ketiga, BN berpengalaman menguruskan masyarakat pelbagai kaum agama dan budaya menerusi politik perpaduan yang diamalkan.
BN juga sudah membuktikan kemampuan menghadapi cabaran dan mengharungi kesukaran dan berkali-kali berjaya keluar daripada kegetiran itu dengan lebih gagah.
Parti gabungan dinamik ini berjaya menyesuaikan gerakan dengan perubahan landskap tetapi tidak pernah mengorbankan prinsip.
Keempat, BN mengamalkan perkongsian kuasa yang efektif dengan menolak politik benci membenci dan pecah-belah. BN menghormati dan menerima kepelbagaian agama.
BN membina jambatan dan tidak merobohkannya. BN menentang eksploitasi kaum dan agama untuk keuntungan politik. Perpaduan membuahkan kekuatan, perpecahan pula hanya membawa kemusnahan.
Kelima, BN adalah gabungan pelbagai parti yang telah teruji. Selepas 55 tahun ia masih mewakili seluruh lapisan rakyat dari semua negeri di Malaysia.
BN percaya kepada kesinambungan. Walaupun pemimpin datang dan pergi tetapi gabungan tetap utuh.
Parti ini juga mengamalkan politik konsensus dan keterangkuman yang mengambil kira semua pendapat, semua suara didengar.
Keenam, BN berkongsi harapan dan aspirasi dan untuk itu, berusaha keras menjadikannya suatu kenyataan untuk semua.
BN memperkasa rakyat. Peralihan yang terurus ke arah masyarakat progresif, moden dan demokratik dengan iltizam melindungi hak asasi manusia dan alam sekitar.
BN menepati Janji Membawa Harapan. Memacu rakyat dan negara ke tahap baharu kecemerlangan dan perkhidmatan berasaskan gagasan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...