Darahsatriadotcom

Sunday, 7 April 2013

Panas : Kegiatan Anwar Terbongkar!

Tokoh akademik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba kesal dengan perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini dipergunakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut beliau, kecenderungan itu memberi impak kepada hala tuju perjuangan ABIM sebagai sebuah badan dakwah dan tarbiah yang sepatutnya tidak berpihak pada mana-mana parti politik sebagaimana pendirian pertubuhan tersebut selama ini.


Lebih mengejutkan, kata beliau, bekas pemimpin serta aktivis ABIM itu masih sanggup bersama-sama perjuangan Anwar walaupun kredibiliti serta integriti moral dan pegangan agama pemimpin pembangkang berkenaan terbukti telah tercalar selama ini.

Bagaimanapun, beliau percaya kecenderungan individu tertentu daripada ABIM untuk menyokong Ketua Pembangkang itu hanya didorong oleh perasaan 'taksub' mereka terhadap Anwar sehingga sanggup mengetepikan segala bukti yang dikemukakan tentang pemimpin tersebut.

"Kalau orang tidak setuju itu terpulang. Kita ada berbeza pandangan dan perkara itu diizinkan tetapi mesti didukung dengan etika.

"Saya berbeza dengan mereka sebab saya ada fakta, maklumat tetapi mereka berbeza kerana tidak mengkaji. Sebut saja Anwar, terus jadi taksub," katanya.

Sidek yang juga bekas Setiausaha Agung ABIM dan masih menjadi ahli pertubuhan itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan hati ke hati dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau diminta mengulas pemilihan aktivis ABIM, Datuk Idris Jauzi sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada pilihan raya umum kali ini, seperti diumumkan Anwar kelmarin.

Sementara itu, kata Sidek, beliau mengalu-alukan semua pihak termasuk aktivis ABIM, pemimpin mahasiswa dan pihak berkepentingan untuk mengadakan pertemuan dengan beliau dan melihat sendiri hasil kajian lengkapnya mengenai Anwar sehingga menyebabkan beliau menolak pemimpin itu.

''Seperti contoh dalam beberapa siri pertemuan dengan ahli ABIM di rumah saya iaitu seramai 70 orang, kesannya ada. Saya ambil pendekatan terbuka.

"Saya bawa tokoh yang tahu tentang siapa Anwar dan dia ceritakan. Saya kata jangan rekod atau letak dalam blog. Mereka akan bertanya selama dua tiga jam dan apabila dia puas hati, saya tidak pun membuat ketetapan, saya tidak suruh mereka ambil pendirian," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan mengapa Pas masih sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR sedangkan DAP jelas mengamalkan idea sosialis demokratik yang bersifat liberal dan Anwar terpalit dengan pelbagai isu moral.

"Kalau masih ingat, Syed Husin Ali pernah dilarang oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat daripada bertanding di Kota Bharu kerana dasar sosialis demokrat yang dibawanya tetapi kini Pas bekerjasama dengan mereka," jelasnya.

Mengenai pertemuan empat mata dengan Dr. Mahathir hari ini pula, katanya, langkah itu dilakukan demi mendapatkan penjelasan bekas Perdana Menteri tersebut dan berkongsi maklumat mengenai Anwar serta sebab Anwar disingkirkan daripada Kabinet Dr. Mahathir lebih sedekad lalu.

"Tun Dr. Mahathir ada asas yang cukup baik kerana dia seorang yang rasional. Dia seorang yang membuat keputusan berdasarkan fakta bukan emosi dan mengambil tindakan menyingkirkan Anwar walaupun bukan tindakan popular," katanya.


Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...