Darahsatriadotcom

Sunday, 7 April 2013

Pendedahan : Pelbagai Strategi PKR Cetus Huru Hara...

Rancangan jahat membakar Stadium Nasional Bukit Jalil oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1998 didorong sifat taksub melampau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ketua Wanita PKR negeri, Aminah Abdullah berkata, rancangan itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana parti tersebut mempunyai pelbagai strategi lain untuk mencetuskan huru-hara.

"Demi Anwar, penyokongnya sanggup melakukan apa sahaja biarpun tindakan mereka akan menjejaskan ketenteraman awam serta memalukan negara.

"Selain itu, pelbagai perkara lain juga akan dilakukan semata-mata memberi imej buruk kepada pihak berkuasa yang mengambil tindakan terhadap mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Aminah mengulas rancangan membakar stadium berkenaan ketika majlis perasmian Sukan Komanwel oleh Ratu Elizabeth pada 1998 berikutan pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Pendedahan oleh bekas penyokong kuat Anwar, Zulkifli Noordin semalam, antara lain turut menyebut mereka juga merancang mencetuskan huru-hara di tempat lain termasuk di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Kata Aminah, penyokong PKR terlalu taksub dan menganggap Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu sebagai manusia paling 'bersih' sehingga sanggup bertindak di luar batasan.

"Selain itu, jika mengadakan demonstrasi jalanan, kami diarahkan duduk di tengah jalan dan tidak bangun ketika dihampiri atau ditarik oleh anggota polis.

"Semua ini dilakukan bagi menunjukkan kepada masyarakat dan media luar negara kononnya polis bertindak kejam terhadap penyokong Anwar," ujarnya.

Aminah yang meninggalkan PKR pada 2007 berkata, gelaran 'pejuang' yang diberikan kepada mereka ketika itu membuatkan semangat menentang kerajaan dan mencetuskan suasana huru-hara semakin membuak-buak demi Anwar.

Sehubungan itu, beliau meminta penyokong Anwar mengawal emosi dalam berpolitik ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-13 dan tidak melakukan tindakan yang boleh menggugat keselamatan rakyat dan negara.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...