Darahsatriadotcom

Thursday, 4 April 2013

Satu Analisa : 'Resipi Malapetaka Ekonomi'

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, janji pembangkang untuk menurunkan harga minyak, selain menuntut Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) meningkatkan royalti minyak kepada 20 peratus akan memberikan kesan buruk ke atas syarikat tersebut serta pembangunan negara.

Tegas Perdana Menteri, janji yang disifatkan sebagai 'resipi malapetaka kepada ekonomi' dan tidak masuk akal itu hanya akan menghalang keupayaan Petronas untuk berkembang, melabur atau membuat pelaburan semula kerana sektor minyak dan gas memerlukan modal perbelanjaan yang besar.

Malah jelasnya, tuntutan pembangkang untuk membentuk satu jawatankuasa khas Parlimen berhubung Petronas akan menampakkan 'cengkaman' kerajaan terhadap syarikat itu yang pada asalnya diwujudkan dengan idea perlu bergerak sebagai organisasi bebas tanpa dibebani campur tangan yang banyak daripada kerajaan.

''Bukan hanya menjejaskan perbendaharaan negara, tetapi keupayaan Petronas untuk melabur dan membuat pelaburan semula, meneroka sumber-sumber baharu, di samping mempertahankan sumber sedia ada akan terjejas teruk. Anda di Petronas seharusnya lebih mengetahui akan perkara itu.

''Ini adalah fakta. Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas) selalu menegaskan kepada saya bahawa Petronas perlu memiliki sumber yang cukup untuk membuat pelaburan semula,'' katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap dalam satu perjumpaan beliau bersama warga Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri oleh 4,000 orang kakitangan Petronas termasuk Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Perjumpaan tersebut merupakan satu nostalgia kepada Najib yang pernah memulakan karier bersama Petronas sebagai Eksekutif Muda pada 1974 sebelum menceburi bidang politik.

Najib memberitahu, janji menurunkan harga minyak akan menyebabkan jumlah subsidi kerajaan meningkat kepada RM30 bilion setahun dan ini memberikan implikasi besar terhadap pelaburan-pelaburan Petronas yang produktif.

''Petronas tidak akan berjaya menjadi organisasi terbaik seperti sekarang tanpa rizab yang kukuh dan kemampuan untuk melabur. Jika subsidi terpaksa ditingkatkan, sumber Petronas untuk pelaburan produktif terpaksa disalurkan kepada penggunaan persendirian.

''Ini yang saya katakan akan membawa kepada bencana ekonomi,'' tegasnya.

Beliau dalam pada itu membidas tindakan pembangkang yang dilihat menggunakan 'gear undur' terhadap pembangunan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas di Pengerang, Johor.

''Apabila saya kata tentang RAPID, saya selalu kata, saya mahukan pembangunan yang 'rapid' (pantas). Tetapi pembangkang, mereka mahu guna gear undur dan tindakan ini bertentangan dengan kepentingan Petronas,'' ujarnya.

Sementara itu, katanya, walaupun Petronas bergerak dengan campur tangan yang minimum daripada kerajaan, hubungan syarikat minyak dan gas itu dan kerajaan adalah seperti seorang 'ayah dan anak'.

''Jika kita menguruskan hubungan itu dengan baik dan positif, akan menguntungkan kedua-dua pihak. Hubungan baik ini telah banyak menguntungkan apabila kerajaan berjaya membawa Petronas dalam memainkan peranan di Tapak Rawatan Gas Kiyanli dan Terminal Gas Petronas, Turkmenistan.

''Ini termasuklah menyelesaikan perjanjian untuk Petronas mengambil alih syarikat pengeluar gas Kanada, Progress Energy Resources. Semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Petronas dapat beroperasi di Sudan,'' katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Petronas selama ini apabila berkembang daripada modal perintis RM10 juta pada 1974 kepada satu sumbangan kumulatif berjumlah RM733 bilion, tahun lalu.

''Daripada kedudukan 311 pada 2000, kini Petronas berada di tangga 68 dalam senarai 500 Fortune Global. Ini membawa makna Petronas menjadi syarikat kebanggaan negara,'' tambahnya.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...