Darahsatriadotcom

Thursday, 11 April 2013

Satu Analisis : Simbol Dan Kaitannya Dengan PRU13...

Semasa cuti persekolahan baru-baru ini, saya berkesempatan menemankan seorang rakan dari selatan tanah air yang juga seorang pemilik syarikat industri kecil dan sederhana bumiputera ke sebuah gedung menjual alat komunikasi, komputer dan elektronik di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Dia berjanji kepada setiap pekerjanya untuk menghadiahkan sebuah telefon pintar baharu jika keuntungan syarikat melebihi daripada apa yang dijangkakan. Sebagai seorang ketua, beliau berpegang kepada kata- kata 'Janji Ditepati' dan bukannya omong kosong.

Di pusat membeli-belah itu terdapat pelbagai model telefon pintar, gajet dan lain-lain peralatan elektronik serta perisian komputer dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan. Apa yang penting, setiap produk itu mempunyai jenama dan simbol tersendiri. Jika peralatan itu dari Korea Selatan, ia akan mempunyai satu jenama dan berbeza daripada jenama dari Jepun. Jenama dan simbol yang mereka jual penting untuk menarik perhatian pelanggan agar sentiasa bertambah dan setia sekali gus menguntungkan pengeluar dan peniaga.

Dalam buku Business Stripped Bare: Adventures of a Global Entrepreneur karya jutawan Britain-Richard Branson, menyatakan tentang sesuatu jenama harus menggambar apa yang ia mampu laksanakan dan menzahirkannya tanpa cacat cela pada setiap masa. Jenama perlu ditawarkan dengan cara bijak dan inovatif serta tidak berpura-pura memaparkan lebih daripada apa yang mampu diberi. Pemilik syarikat penerbangan Virgin Atlantic dan syarikat rakaman Virgin Records itu turut menegaskan bahawa, jangan menjanjikan apa yang tidak mampu dilaksanakan agar sesuatu jenama itu dapat bertahan lama.

Apa yang dapat disimpulkan daripada tulisan Branson ialah sesuatu organisasi, syarikat atau produk jualan perlu mempunyai jenama dan simbolnya sendiri.

Dalam konteks Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, gabungan parti-parti politik perlu bersatu di bawah satu lambang jika mereka sepakat. Bagaimana parti-parti politik hendak memerintah sebuah negara jika mereka tidak dapat menentukan simbol yang satu. Simbol akan melambangkan misi dan visi sesuatu organisasi, syarikat atau gabungan parti-parti politik. Apabila dua atau lebih syarikat bergabung, pihak pengurusan atasan kebiasaannya akan menukar logo baharu agar imej syarikat lebih dipercayai dan memberi inspirasi kepada pekerja dan pengguna. Ada juga syarikat yang mengekalkan logo lama disebabkan faktor pengguna yang setia dan diketahui umum dalam penguasaan sesuatu produk atau perkhidmatan. Walaupun logo yang lama tapi tetap dalam satu kumpulan.

Seperti yang diketahui umum, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada tiga cabang iaitu darat, laut dan udara. Walaupun Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mempunyai lambang mereka sendiri, namun ketiga-tiga perkhidmatan ini bergabung dalam satu entiti iaitu ATM, dengan logonya yang satu. Ia memberi makna satu ketumbukan yang kuat di kesemua peringkat dan tidak berharap kepada individu tertentu dalam menentukan kelangsungan gabungan beberapa pasukan pertahanan. Begitu juga negeri-negeri dalam Malaysia yang berpayung di bawah satu jata negara.

Warna turut memainkan peranan penting dalam menguat dan mengukuhkan sesuatu jenama atau simbol. Warna hijau yang melambangkan Islam tidak akan membawa maksud yang sama dengan warna merah dan biru bagi mereka yang mendukung fahaman sosialis serta kesaksamaan semua kaum yang tidak bertunjangkan Islam. Belum pun menjadi pemerintah, mereka yang mewakili parti politik berwarna hijau telah menduduki tempat ketiga di kalangan pembangkang, dibelakang pejuang-pejuang Malaysian Malaysia yang berada di tempat pertama sebelum Parlimen dibubar sepanjang 4 tahun lalu.

Dalam sejarah pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di Malaysia, calon bebas dibenar menggunakan pelbagai simbol antaranya kunci, payung, ikan dan lain-lain. Ketika berkempen, calon-calon serta jentera mereka tidak akan ketinggalan untuk menerangkan serba sedikit tentang maksud simbol yang mereka bawa. Contohnya payung sebagai pelindung masyarakat dan kunci sebagai kunci kejayaan rakyat. Datuk Shahrir Abdul Samad adalah antara calon bebas yang pernah menggunakan lambang kunci dalam Pilihan Raya Kecil di Parlimen Johor Bahru pada tahun 1988.

Dijangkakan pada PRU Ke-13 ini ada pertambahan tokoh-tokoh politik lama dan baharu yang asalnya berada dalam parti politik tertentu akan bertanding di atas tiket bebas.

Sejak merdeka, Malaysia hanya mempunyai satu ketua negara pada setiap 5 tahun iaitu Yang di-Pertuan Agong, seorang Perdana Menteri dan seorang Timbalan Perdana Menteri. Kini ada pihak tertentu yang menjanjikan jawatan timbalan perdana menteri lebih daripada satu. Pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia telah terbukti berkesan dan mengekalkan keamanan sejak dahulu lagi. Bukannya pemerintahan satu keluarga yang terdiri daripada ayah, ibu dan anak yang menguasai satu parti politik dan bercita-cita menganggotai Kabinet dalam sebuah negara.

Semasa membuat keputusan untuk mengundi kelak, pilihlah satu simbol yang mempunyai rekod cemerlang, janji dilaksanakan, tidak fanatik dan terbukti melahirkan ramai negarawan. Bukannya tokoh lama yang dibuang dan dikitar semula sejak bertahun-tahun serta tidak mahu bersara walaupun telah lanjut usia. Usahlah percaya kepada gerombolan yang bercelaru fikiran dan sering bertindak liar di jalanan.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...