Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berhadapan dengan laluan sukar di kubu sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila Barisan Nasional (BN) mencalonkan bekas pemimpin Pas, Dr. Mazlan Ismail sebagai lawan beliau di Parlimen Permatang Pauh.
Dengan
berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun dalam Pas, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas
negeri berusia 53 tahun itu dilihat mempunyai kelebihan untuk merampas kerusi
berkenaan daripada Anwar.
Bercakap
kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Pulau Pinang di sini hari
ini Mazlan berkata, beliau optimis untuk meraih kemenangan di Permatang Pauh
yang disifatkan bukan tanah asing buatnya.
"Saya
merupakan anak jati Permatang Pauh dan mempunyai ramai saudara-mara serta
kawan-kawan yang bakal menjadi penyokong kuat untuk menumbangkan Datuk Seri
Anwar Ibrahim nanti," katanya yang berasal dari Kampung Kubang Ulu,
Penanti di sini.
Sebagai
orang lama dalam gelanggang politik, Mazlan juga mengakui, sangat mengenali
ahli serta penyokong-penyokong Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan
parlimen itu kerana sebilangan besar daripada mereka merupakan saudara-mara dan
sahabatnya.
Mazlan
yang pernah menceburi bidang korporat dengan jawatan terakhir sebagai Naib
Presiden Telekom Malaysia (TM) Berhad berkata, beliau berkeyakinan tinggi mampu
mempengaruhi serta mendapat sokongan daripada pengundi di kawasan itu.
Beliau
merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Elektrik dari Salford
University, United Kingdom (UK); Ijazah Sarjana Operasi Telekomunikasi,
University of Coventry, UK dan Ijazah Lanjutan (Ph.D) Pengurusan Modal Insan di
Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut
Mazlan, keyakinan untuk merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh pada PRU-13
juga bertitik tolak daripada kegagalan Anwar dan Presiden PKR yang juga isteri
Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melaksanakan amanah rakyat di
kawasan berkenaan.
"Selama
15 tahun, Anwar dan Wan Azizah gagal membawa sebarang perubahan di Permatang
Pauh sebagai Ahli Parlimen dan saya yakin pengundi akan kembali kepada BN kali
ini," kata beliau.
Selain
Mazlan, tiga lagi muka baharu yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
dalam kawasan sama ialah Datuk Nasir Abdullah di Seberang Jaya, Ibrahim Ahmad
(Penanti) dan Anuar Faisal Yahya (Permatang Pasir).
Tambah
Mazlan, selaku muka baharu, keempat-empat mereka akan membawa slogan 'Harapan
Baru Permatang Pauh' ketika berkempen bagi mendapatkan sokongan pengundi di
kawasan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...