Darahsatriadotcom

Saturday, 6 April 2013

Terkini : Intipati Manifesto Barisan Nasional Didedahkan!

Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok dijangka mengandungi janji-janji yang menyentuh kebajikan dan masa depan lebih baik untuk semua komuniti dan lapisan masyarakat serta pelbagai sektor.

Bagaimanapun, manifesto tersebut tidak bersifat populis sebaliknya mengandungi janji-janji yang realistik dan boleh dicapai setelah dibuat kajian teliti dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara, demikian menurut sumber BN ketika ditanya tentang isi kandungan manifesto tersebut.

Najib, yang juga Pengerusi BN, akan melancarkan manifesto tersebut pada majlis Perhimpunan 1Malaysia Rakyat Didahulukan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, pada pukul 9 malam.

"Tunggulah esok, tetapi apa yang boleh dikatakan ia merupakan manifesto yang sangat komprehensif tetapi realistik dan boleh dicapai," kata seorang pemimpin BN ketika diminta mengulas tentang kandungan manifesto tersebut.

Katanya, manifesto itu seperti kad kemajuan kerajaan BN pimpinan Najib sejak empat tahun lepas.

Ia juga boleh disifatkan dokumen akujanji mengandungi wawasan dan komitmen kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang untuk meneruskan program transformasi dengan matlamat membawa negara ke tahap negara berpendapatan tinggi, ujarnya.

Difahamkan manifesto itu berdasarkan falsafah induk pentadbiran Najib iaitu '1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Janji Ditepati.' Bertitik tolak dari asas-asas tersebut ia juga membawa harapan masa depan lebih baik untuk semua rakyat.

"Walaupun pembangkang terlebih dahulu melancarkan manifesto mengandungi pelbagai janji muluk termasuk menghapuskan bayaran tol, menurunkan harga minyak dan kereta serta pendidikan tinggi percuma, manifesto BN tetap berpegang kepada pertanggungjawaban fiskal.

"BN tetap akan mengamalkan dasar mengurangkan defisit akaun semasa dalam menggariskan perancangan ekonomi dan pembangunan negara bagi mengelak negara ditimpa nasib beberapa negara Eropah," katanya.

Pemimpin-pemimpin BN yang diminta mengulas mengenai manifesto BN berkata mereka menjangka manifesto itu akan membawa kesan lonjakan terhadap sokongan rakyat kepada kepimpinan Najib.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...