Darahsatriadotcom

Monday, 29 April 2013

Ugutan DAP Satu Sandiwara...

Walaupun dibenarkan bertanding dan menggunakan simbol sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), DAP masih mencanangkan semua calonnya akan menggunakan simbol PAS di Semenanjung dan PKR di Sabah serta Sarawak jika simbol roket ditolak semasa pencalonan hari ini. Malah, DAP sudah mendapatkan surat tauliah daripada PAS dan PKR untuk semua calonnya.

Tindakan itu kononnya kerana DAP bimbang surat tauliah Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, kepada calon parti itu tidak diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak diperakui Pendaftar Pertubuhan (ROS). Rabu lalu, ROS memaklumkan kepada DAP bahawa ia tidak mengiktiraf pemegang jawatan yang dibentuk selepas pemilihan CEC parti itu 15 Disember tahun lalu. 



Bagaimanapun, ROS menyatakan pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya pada PRU-13. Malah, SPR sudah mengesahkan DAP boleh bertanding biarpun CEC parti itu tidak diiktiraf ROS. Dalam erti kata lain, tiada pihak yang menghalang calon DAP daripada bertanding menggunakan simbol roket dan tidak berbangkit isu parti itu terpaksa menggunakan simbol PAS atau PKR.


Tindak tanduk DAP dalam isu ini amat meragukan, lebih-lebih lagi apabila Guan Eng mendakwa tindakan ROS mengeluarkan surat itu adalah untuk menghalang DAP bertanding. Malah kelmarin pemimpin DAP itu memberi tempoh kepada ROS sehingga jam 3 petang semalam untuk menarik balik surat berkenaan atau parti itu akan menggunakan simbol PAS dan PKR.

Semalam pula, beliau menyatakan perkara itu menyebabkan ahli dan penyokong DAP marah. Semua ini menggambarkan beliau sengaja memutar belitkan fakta untuk mencipta isu bagi membangkitkan kemarahan terhadap ROS dan SPR yang kononnya mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) untuk menghalang DAP bertanding. Malah, sikap tidak acuh DAP ketika ROS menyiasat aduan ahli parti itu, menunjukkan ia seolah-olah mahu pendaftarannya dibatalkan. Mungkin semua itu sandiwara DAP untuk meraih undi simpati kerana kononnya ia dianiayai ROS dan SPR untuk memberi kelebihan kepada BN.

Kemungkinan ini diperkukuhkan dengan kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan peluang beliau memenangi kerusi Parlimen Gelang Patah semakin tipis kerana akan ada pengundi Cina yang tidak mahu memangkah simbol PAS jika simbol roket tidak boleh digunakan. Malah, beliau dilaporkan menangis kerana tidak dapat menggunakan simbol roket yang digunakan selama ini. Tindakan pantas PAS dan PKR memberikan surat tauliah kepada calon DAP melengkapkan sandiwara ini.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...