Darahsatriadotcom

Friday, 12 April 2013

Wajib Baca : Jerangkap Samar PAS!

Percaturan Pas menempatkan Husam di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sememangnya menimbulkan tanda-tanya. Mungkin Pas percaya dan yakin kepada kekuatan Husam untuk menyaingi calon Barisan Nasional (BN) yang belum dinamakan lagi. Tidak mustahil juga parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu mahu Husam mencatatkan sejarah tersendiri.

Kalau menang tentunya sejarah putih bagi Husam tetapi jika tewas, masa depan bekas ADUN Salor itu agak sukar ditelah melainkan beliau ditawarkan juga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Setakat ini Pas belum membuat sebarang pengumuman yang berkaitan.

Husam, lulusan Universiti Malaya (UM) dalam bidang ekonomi mendapat pendidikan di Sekolah Rendah Kota Bharu, Sekolah Menengah Sultan Ismail Kota Bharu dan Maktab Sultan Ismail sebelum ke UM. Beliau kemudiannya mengikuti kursus Bahasa Arab di Jordan.

Latar belakang pendidikannya sememangnya tiada kaitan dengan sekolah pondok juga bukan di aliran agama secara rasmi.

Sepintas lalu, Husam kelihatan penting di sisi Menteri Besar dan juga pentadbiran di Kelantan. Tetapi benarkah begitu? Apakah sumbangan besar Husam terhadap kerajaan negeri dan parti setakat ini?

Di sebalik cakap-cakap satu ketika dulu bahawa Husam antara nama paling berpotensi menjadi Menteri Besar Kelantan. Naib Presiden Pas itu juga tidak lepas daripada terpalit pelbagai kontroversi sehingga diheret ke mahkamah.

Apabila namanya diumumkan bertanding di Putrajaya, ada yang membuat kesimpulan mungkinkah Nik Aziz tidak mahu melihat wajah Husam di Kelantan disebabkan kontroversi yang dikaitkan dengan beliau?

Adakah Husam menjadi liabiliti kepada Nik Aziz dan kerajaan Pas di Kelantan? Atau apa sebenarnya matlamat percaturan yang dilihat oleh banyak pihak umpama untung sabut timbul untung batu tenggelam.

Pencalonan Husam di Parlimen Putrajaya akan memberi jawapan kepada kedudukan beliau seterusnya. Jika ditakdirkan menang, tetapi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan, apakah kepentingan Husam?

Putrajaya bukan Kelantan. Tidak ada masalah bekalan air dan elektrik. Segala kemudahan dan infrastruktur tersedia selain bandar yang begitu tersusun. Jika ada pun yang merungut hanyalah masalah tempat letak kereta.

Kedua-dua pilihan raya umum menyaksikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendapat tempat di hati pengundi yang rata-ratanya kakitangan kerajaan biar pun ada penurunan undi disebabkan tsunami politik di seluruh negara pada 2008.

BN belum mengumumkan siapa bakal bertemu Husam. Adakah pilihan raya yang ke-13 ini menyaksikan Tengku Adnan kekal di situ atau ada muka baru bakal ditampilkan?

Pejabat UMNO Putrajaya sememangnya menjadi tempat untuk penduduk kurang mampu mengadu nasib. Mereka berkumpul di restoran mamak tidak jauh dari pejabat UMNO menunggu untuk bertemu wakil rakyat. Yang datang adalah kakitangan kerajaan gred rendah dan mempunyai ramai anak masih bersekolah. Kebiasaannya mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

Jasa BN terhadap Putrajaya dan penduduknya tidak terbilang. Putrajaya membangun sedemikian rupa hasil air tangan BN sehingga menjadi destinasi wajib dikunjungi manakala penduduknya menikmati kehidupan yang terancang.

Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) turut dilaksanakan di Putrajaya selain pelbagai kemudahan lain untuk dimanfaatkan oleh rakyat.

Sama ada pencalonan Husam adalah jerangkap samar yang dipasang parti sendiri atau sememangnya Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu selamanya milik BN, jawapannya 5 Mei nanti.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...