Darahsatriadotcom

Wednesday, 10 April 2013

Wajib Baca : Pasca Pembubaran Parlimen...


Dengan terbubarnya Parlimen, maka mengikut undang-undang pilihan raya, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Rakyat sesungguhnya memang sudah muak dengan perang politik yang tidak berkesudahan sejak 8 Mac 2008, yang mana menyaksikan pihak pembangkang buat pertama kalinya dapat menafikan majoriti dua pertiga yang dinikmati oleh kerajaan Barisan Nasional buat sekian lama. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen,Rabu lalu timbul pula syubhat baru.


Maka berkokoklah tokoh-tokoh pembangkang yang mengatakan kini sudah tidak ada lagi kerajaan yang sah, kerajaan ini sudah luput tarikhnya. Adalah cukup mengecewakan apabila terdapat beberapa ustaz popular yang sibuk mengatakan bahawa dengan terbubarnya Parlimen, maka sudah tidak ada lagi kerajaan, tidak ada lagi pembangkang dan dengan itu tidak ada lagi khawarij dan rakyat bebas 'menjatuhkan' pemerintah sedia ada.

Tidak kurang juga ada yang tanpa segan silu mengatakan bahawa Najib bukan lagi Perdana Menteri yang sah dan mendesak beliau supaya keluar dari kediaman rasmi dan tidak menggunakan lagi kemudahan-kemudahan rasmi yang diperuntukkan kepada beliau. Sesungguhnya, ini adalah seruan yang jahil dari mereka yang berkepentingan dan merupakan seruan yang bertentangan bukan sahaja dengan Perlembagaan negara tetapi juga dari aspek sunnah.

Khawarij adalah masalah akidah yang kekal dan tidak akan hilang. Malah adalah syubhat untuk menyatakan bahawa dengan "hilangnya kuasa" pemerintah, maka tiadalah ketaatan rakyat pada pemerintah tersebut. Ini terbukti melalui sirah, apabila gerakan khawarij telah mendapat bentuknya selepas berlakunya konfrontasi antara Saidina Ali RA dan Saidina Muawiyyah RA. 

Setelah berakhirnya peperangan Siffin, konflik ini cuba diselesaikan melalui perundingan Majlis Tahkim. Majlis Tahkim melalui rundingan diplomasi antara Abu Musa Al-Asy'ari RA di pihak Saidina Ali dan Amru Al-As RA di pihak Saidina Muawiyyah tidak mencapai persepakatan dalam hal siapakah yang patut memimpin ummah seperti yang tercatat dalam Tarikh At -Tabari.

Lantas, sekumpulan penyokong Saidina Ali RA telah keluar dari barisan ketenteraan beliau. Mereka ini bertindak mengkafirkan Saidina Ali kerana beliau memilih untuk bersetuju dengan keputusan Majlis Tahkim.

Mereka berkata bahawa Ali sudah berhukum selain dari hukum Allah, dan tidak ada hukum selain hukum Allah. Lalu mereka berkata, memandangkan Ali bukan lagi Amirul Mukminin, maka dia adalah Amirul Kafirin. Gerakan khawarij mengambil kesempatan atas keadaan kucar-kacir dalam kepimpinan umat tatkala itu!

Maka, adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa khawarij hanya boleh wujud dengan adanya pemerintah yang cukup sifat dan sempurna semata-mata. Ini kerana munculnya pertama kali gerakan khawarij yang sempurna dari istilah syarak berlaku ketika tiada kesepakatan dalam isu siapakah khalifah yang berkuasa penuh ke atas wilayah-wilayah Islam. Yang wujud ketika itu hanyalah kerajaan sementara pimpinan Saidina Ali dan juga pentadbiran Saidina Muawiyyah di Syam.

Hakikatnya, hayat Saidina Ali RA berakhir dengan pembunuhan beliau oleh Abdul Rahman bin Muljam yang telah dicela oleh jumhur ulama ahlul sunnah wal jamaah. Lihatlah, sungguhpun Saidina Ali bukan lagi seorang pemerintah negara yang berkuasa penuh seperti yang difahami oleh sesetengah pihak jika dibandingkan dengan khalifah-khalifah sebelum beliau, tidak ada ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar yang akan mengangkat Abdul Rahman Muljam dan gerombolannya sebagai wira adijagat yang menentang pemerintah yang zalim dan tidak berhukum dengan hukum Allah.

Ini adalah bukti bahawa khawarij ini adalah masalah ideologi dan akidah yang tiada kaitan dengan naik atau turunnya sesebuah kerajaan.

Namun, kenapakah wujud fahaman songsang dalam kalangan agamawan ini yang beranggapan bahawa dengan terbubarnya Parlimen, maka negara tidak ada pemerintah? Dengan itu, mereka telah melakukan stipulasi bahawa dengan terbubarnya Parlimen tidak ada lagi khawarij walaupun terbukti sejarah Islam telah menolak idea ini secara total dan tuntas sejak daripada tunasnya lagi.

Berbalik kepada isu pembubaran Parlimen dan kerajaan sementara semasa pilihan raya, agamawan popularis ini cuba mengatakan bahawa setelah Parlimen dibubarkan maka tidak ada kerajaan yang sempurna yang dengan itu menghalalkan rakyat menjatuhkan pemerintah sedia ada dan memilih yang lain.

Penulis ingin mengajak semua untuk meneliti semula realiti Perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Mengikut Perlembagaan kita, tidak ada konsep 'Caretaker Government' seperti di Australia dan New Zealand yang melantik kakitangan kerajaan sebagai 'penjaga sementara negara'.
Ini diakui sendiri oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman di dalam jawapan bertulisnya kepada Lim Kit Siang pada 17 Januari 2008: "Sukacita dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihan raya negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya 'Caretaker Government'.

Oleh demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran itu akan terus menerajui kerajaan sehinggalah sebuah kerajaan baharu ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi oleh SPR.''

Oleh itu, dalam realiti politik negara kita, tidak ada caretaker government dan kerajaan yang memerintah adalah terus menerajui pemerintahan sehinggalah kerajaan baharu ditubuhkan! Ini bermakna, tidak cacat sedikit pun sifat ulil amri bagi pemerintah sepanjang tempoh pembubaran Parlimen sehinggalah diumumkan keputusan pilihan raya.

Perlembagaan Malaysia Perkara 43(2)(b) juga secara jelas menerangkan konsep ini: "Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu: …tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baharu itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara."

Malah, ini turut disahkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 3 April 2013 bila mana beliau berkata, kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat mentadbir negara dan padanya tidak berlaku kecacatan termasuklah dalam bidang ekonomi dan politik.

"Fungsi untuk mentadbir negara masih sama, tetapi tidak sebagai ahli Dewan Rakyat apabila fungsi di dalam Parlimen tidak ada lagi, dan perundangan tidak boleh dibuat," katanya. Beliau juga turut mengesahkan bahawa tidak ada istilah kerajaan sementara dalam Perlembagaan Malaysia.

Oleh itu, pendapat yang mengatakan kerajaan dalam tempoh pasca pembubaran Parlimen bukan lagi ulil amri dan tidak perlu diberikan ketaatan adalah kesimpulan yang salah dan tidak jujur apabila dirujuk kepada sunnah dan sejarah Islam serta dikuatkan dengan hujah-hujah bersumberkan perlembagaan dan perundangan negara.

Adalah menghairankan agamawan popularis bermati-matian mahu menghidup dan merayakan demokrasi tulen. Ketahuilah demokrasi tulen hanya akan diperakui oleh Barat seandainya negara menghalalkan murtad dan amalan songsang LGBT. Renunglah di manakah para perjuang murtad dan LGBT berada. Apakah di sebelah kerajaan UMNO/ BN atau di pihak pakatan pembangkang. Apakah anda masih mahu memperjudikan nasib negara?

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...