Barisan Nasional (BN) perlu berani melakukan pembaharuan dan
perubahan bagi memastikan parti itu sentiasa relevan serta mesra rakyat.
Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembaharuan dan perubahan dari
segi strategi, pendekatan, program dan lebih pragmatik penting sebagai
persiapan awal untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.
“BN perlu berani berubah sebelum rakyat menolak, kerana walaupun
sudah memegang pemerintahan secara berterusan selama 56 tahun dan sudah
melakukan pelbagai usaha pembangunan untuk semua kaum namun ia bukan
jaminan untuk terus kekal memerintah.
Perlu bersikap pragmatik
“Pemimpin dan wakil
rakyat BN tidak lagi boleh beranggapan formula dan ramuan yang diguna
pakai sebelum ini masih sesuai, tetapi perlu bersikap terbuka dan
pragmatik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menafikan masalah,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis
Kesyukuran UMNO Bahagian Pekan sempena kemenangan Pilihan Raya Umum
Ke-13 (PRU-13) di hadapan lebih 5,000 orang di Dewan Konvensyen di sini,
semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Ishak
Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Abu Bakar Harun;
ADUN Peramu Jaya, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali; ADUN Bebar, Mohd
Fakhruddin Mohd Arif dan ADUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.
Perdana Menteri berkata, landskap politik negara yang berubah
pantas menerusi proses urbanisasi, pendidikan, taraf hidup dan
perkembangan teknologi maklumat, memperlihatkan formula yang diguna
pakai BN selama ini mungkin sudah tidak relevan.
“Kita tidak
boleh anggap apa yang diguna pakai selama ini sesuai pada masa akan
datang, kita mesti bersikap terbuka, pragmatik dan bukannya dogmatik.
Sikap pragmatik kena jadi pegangan... jasa dan budi yang sudah banyak
ditabur tidak boleh dianggap tiket untuk (BN) terus pimpin kerajaan
dalam sistem demokrasi berparlimen.
“Kita juga tidak boleh
terlalu selesa dan berpuas hati dengan apa dicapai, sebaliknya perlu
berani serta tabah membuat perubahan bagi mengemudi parti untuk
merapatkan barisan, mempelajari kelemahan dan menambah baik kekuatan
yang ada,” katanya.
Najib berkata, BN juga kena ada unsur yang boleh menyegarkan imej parti untuk terus diterima rakyat.
“Jika kita tidak berani membawa unsur itu, maka kita akan menghadapi kesukaran pada masa akan datang,” katanya.
Pesanan untuk wakil rakyat
Beliau
yang juga Ahli Parlimen Pekan turut mengingatkan semua wakil rakyat BN
yang memenangi pilihan raya umum lalu supaya terus memberi khidmat
terbaik kepada rakyat dengan penuh inklusif dan rasa rendah diri.
Katanya, wakil rakyat dinilai menerusi keperibadian dan tahap
perkhidmatan yang diberi, sekali gus membantu parti menghadapi pilihan
raya akan datang yang sudah tentu lebih mencabar.
“Jangan
sombong dan mungkir janji dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat...
ibarat ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...