Darahsatriadotcom

Thursday, 16 May 2013

Cukuplah Anwar...

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan supaya segera membatalkan siri bantahan ekoran kekalahan pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu kerana jelas mencabar perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Bekas rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun, Datuk S. Nallakaruppan berkata, bantahan Anwar itu bertentangan dengan fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, yang menyaksikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memberi perkenan untuk Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 6 Mei lalu.

"Jadi adakah Anwar tidak bersetuju dengan baginda yang memperkenankan pelantikan Najib? Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga telah menasihatkan Anwar supaya menerima kekalahan sebagai ketentuan takdir.

"Cukuplah Anwar, jangan sengaja mencabar Agong, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sistem demokrasi di negara ini dengan menghasut rakyat turun ke jalanan semata-mata kerana tidak dapat menerima kekalahan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Nallakaruppan mendakwa, selain tidak puas hati dengan kekalahan pembangkang, Anwar juga dipercayai cuba mengalih perhatian masyarakat daripada kesnya meliwat bekas pembantu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang akan dibicara di Mahkamah Rayuan Julai ini.

"Anwar harus sedar bahawa masyarakat sudah menerima keputusan PRU-13 dan dia juga harus ingat bahawa rakyat kini tertunggu-tunggu perbicaraan kes tersebut, jadi tidak perlu alih perhatian mereka," katanya.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...