Darahsatriadotcom

Tuesday, 14 May 2013

Kit Siang Bermain Api!

Sudah sampai masanya kaum Cina mengambil iktibar yang serius daripada keputusan PRU-13. Pada PRU-12 (2008), majoriti orang Cina menolak BN walaupun mereka menjadi kaum paling kaya dan menguasai ekonomi.

Pada PRU-13, masyarakat Cina sekali lagi memilih untuk lebih percayakan DAP, yang memainkan sentimen perkauman yang sangat tebal. Tsunami Cina lebih besar kali ini.
Ada yang berpendapat bahawa pengundi Cina membuat silap percaturan setelah diyakinkan oleh DAP bahawa pakatan pembangkang mampu mendapat sokongan rakyat semua kaum bagi membentuk kerajaan.

Persoalannya apakah mahu persalahkan kepada DAP dan PKR sementara masyarakat Cina lepas tangan?

Setahu Awang kaum Cina bukan mudah tertipu berulang kali. Tetapi mengapa benarkan diri ditipu DAP yang merupakan parti paling rasis. Bukan itu sahaja, masyarakat Cina seolah-olah merestui ekstremisme pemimpin DAP. Sebahagian majikan Cina turut mengugut pekerja agar menyokong DAP.

Ramai tokoh kewangan Cina termasuk yang kaya raya hasil daripada kontrak kerajaan juga dikenalpasti memberi dana kepada pembangkang untuk melihat kerajaan BN tumbang.
Tidak berhenti setakat itu. Selepas PRU-13, sebahagian besar orang Cina kelihatan terus memberi sokongan kepada perhimpunan haram DAP dan PKR di seluruh negara untuk membantah keputusan. Sedangkan badan pemantau antarabangsa memperakukan PRU-13 adalah telus dan berwibawa.

Lebih buruk lagi anak-anak muda Cina turut sama terikut sentimen pemimpin DAP memaki hamun dan mencerca. Malah ke tahap menterbalikkan bendera. Dari awal lagi, masyarakat Cina sudah menetapkan arus untuk mencetuskan tsunami. Sesiapa yang menyokong BN biarpun daripada kalangan tokoh Cina akan ditekan dan dimalukan.

Hakikatnya, DAP menang banyak kerusi Parlimen tetapi masih terus melakukan pelbagai provokasi. Maka pertanyaan apa lagi orang Cina mahu, adalah relevan biarpun kurang disenangi?

Orang Cina di serata dunia menolak pemimpin tidak berakhlak atas pegangan nilai. Anehnya di Malaysia, majoriti Cina taksub untuk mengangkat Anwar Ibrahim yang dahsyat isu moralnya sebagai Perdana Menteri.

Lalu beberapa penganalisis termasuk tokoh mualaf Cina bertanya kepada Awang apakah benar orang Cina tertipu oleh pemimpin DAP dan PKR? Atau sememangnya orang Cina sengaja mahu menangguk di air keruh untuk mendapat kuasa politik apabila melihat Melayu tidak bersatu?

Ini bukan mahu menyalahkan sesiapa tetapi semua pihak perlu menjaga sensitiviti. Bukan setakat parti politik, masyarakat Cina juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka pilih.

Lebih-lebih lagi selepas ini, apakah wajar masyarakat Cina menyekutukan diri dan terus menyokong sikap keterlaluan DAP membantah keputusan PRU-13?

Sepatutnya inilah masanya untuk rakyat semua kaum melangkah ke hadapan bersama-sama memakmurkan negara. Suhu politiking sudah lama tinggi dan boleh memuncak memudaratkan negara jika tidak terkawal. Jangan biar bara menjadi api.

Sekali lagi, masyarakat Cina punya pilihan pada pasca PRU-13 ini. Apa yang mereka mahu - merestui DAP yang boleh mencetuskan ketegangan atau menerima keputusan dengan sikap terbuka sambil mendokong keamanan?

Penentuan di tangan mereka. Tepuk dada, tanya selera.

Penasihat Lim Kit Siang bermain api. Beliau terus menghina pemimpin Melayu termasuk Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Terbaharu, beliau menggelar Najib sebagai syaitan.
Sungguh angkuh. Tohmahan dan penghinaan daripada mulutnya tidak henti-henti biarpun selepas rakyat membuat keputusan dalam PRU-13.

Provokasi ala 13 Mei ini perlu dihentikan oleh pihak berkuasa. Melabel Najib sebagai syaitan adalah tidak ubah menujukannya kepada orang Melayu. Najib adalah pemimpin parti Melayu terbesar yang dinaungi oleh orang Islam.

Mengapa Kit Siang berani bertindak keterlaluan, yang Awang percaya kerana beliau mendapat sokongan jitu masyarakat Cina selain faktor ada pemimpin Melayu yang mengkhianati Melayu.

Inilah akibat apabila Melayu berpecah dan ada pihak diperalatkan oleh DAP, yang sejarah parti itu kita semua tahu. Penghinaan Kit Siang terhadap pemimpin Melayu mesti dibantah habis-habisan. Jika berdiam, ia akan memberi isyarat yang salah dan Melayu akan terus dihina oleh pemimpin Cina yang ekstrem.

Belum berkuasa di peringkat kerajaan pusat, sudah beraja di mata bertakhta di hati.
Beberapa tokoh Islam sebelum ini telah mengisytiharkan adalah haram menyokong DAP. Inilah masanya untuk memperbaharui tekad menolak yang haram dan jijik seperti DAP.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...