Khabar angin mengatakan Setiausaha Agung Parti
Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution akan dilantik sebagai
Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar Selangor
mencetuskan 'rasa kurang senang' Pas apabila turut menuntut penglibatan
dalam memantau urusan harian negeri itu.
Perkara itu disuarakan Yang Dipertua Pas Kawasan Pandan yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Iskandar Abdul Samad yang
mahu seorang Naib Presiden Pas ditugaskan untuk urusan pemantauan
berkenaan.
Menurut beliau, hal ini kerana ahli-ahli Pas telah bekerja keras
untuk mengukuh dan mengembangkan pengaruh parti itu di Selangor dan
sudah tentu mereka mengharapkan lebih perhatian daripada pimpinan
tertinggi parti.
Oleh yang demikian, beliau juga mahu ahli dan pimpinan Pas di seluruh
negara menganggap Selangor sebagai sebuah 'negeri Pas' seperti
tanggapan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
''Pada pilihan raya umum lalu, Pas di Selangor telah memenangi 15
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sama banyak jumlah kerusi Pas di
Terengganu dan melebihi kerusi Pas di Kedah.
''Selangor adalah unik kerana selain menjadi 'negeri Pas', ia juga
'negeri DAP' dan 'negeri PKR'. Tidak ada parti yang boleh mengakui
negeri ini 'negeri mereka' kerana jumlah kerusi DUN setiap parti adalah
hampir sama,'' katanya dalam kenyataan seperti dipetik menerusi laporan
lidah rasmi Pas, Harakahdaily.net, semalam.
Berdasarkan laporan laman web media kerajaan negeri, www.selangorku.com,
Saifuddin yang tewas kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu di tangan
calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir pada pilihan
raya umum lalu, akan dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Politik di
Pejabat Menteri Besar.
Menurut laporan itu, perkara tersebut diumumkan Penasihat PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan kongres parti kesembilan
pada 25 Mei lalu di Petaling Jaya.
Pas Selangor sebelum ini membidas beberapa pemimpin PKR negeri itu
dengan menegaskan tiada sebarang perjanjian yang mengatakan jawatan
Menteri Besar Selangor mesti diperuntukkan kepada PKR.
Pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang memenangi 44
daripada 56 kerusi DUN di Selangor dengan Pas dan DAP masing-masing 15
kerusi manakala PKR 14 kerusi. BN pula menguasai 12 kerusi DUN.
Iskandar memberitahu, oleh yang demikian, pimpinan Pas terutamanya
pimpinan tertinggi parti mesti memberi tumpuan sama kepada Selangor
seperti tumpuan yang diberikan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
''Isu-isu di Selangor mesti turut dibincangkan dan dibahas secara
panjang lebar pada mesyuarat pimpinan tertinggi dan muktamar seperti
dilakukan PKR serta DAP,'' katanya.
Sementara itu, menurut sumber dalaman, kerajaan negeri mengesahkan
tentang pelantikan Saifuddin dan telah dipersetujui oleh Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut sumber tersebut, Saifuddin dijangka diberikan tugas membantu
Menteri Besar menguruskan hal ehwal politik pakatan pembangkang di
negeri itu, selain turut berperanan mengukuhkan hubungan antara pemimpin
PKR di peringkat Pusat dan negeri.
''Hal ini kerana, hubungan antara kepemimpinan PKR di peringkat
negeri dengan Pusat dilihat tidak 'rapat' sehingga wujudnya pergeseran
dalam kalangan pemimpin parti itu seperti dilaporkan sebelum ini,''
katanya.
Menurut sumber itu, jawatan yang akan dipegang Saifuddin bagaimanapun
tidak akan melibatkan hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri kerana
beliau hanya bertanggungjawab dalam hal berkaitan politik.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...