Darahsatriadotcom

Friday, 3 May 2013

Strategi Pakatan Rakyat Makan Diri!

Tumpuan luar biasa Pakatan Rakyat di Johor, Sarawak dan juga Sabah dalam usaha mereka untuk memecahkan kubu kebal Barisan Nasional dilihat akan memakan diri. Ramai sedia maklum bahawa ketiga-tiga negeri ini telah lama menjadi “simpanan tetap” Barisan Nasional dalam setiap Pilihan Raya Umum. 

Langkah meletakkan nama besar seperti Lim Kit Siang untuk bertanding di Gelang Patah Johor jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat berniat untuk memecahkan dominasi Barisan Nasional di sana.

Namun begitu ramai penganalisis politik percaya langkah ini akan memakan diri Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana di dalam keghairahan mereka untuk menyerang negeri-negeri di bawah takluk Barisan Nasional, mereka seolah alpa dalam mempertahankan negeri-negeri mereka. Kedah, Pulau Pinang dan juga Kelantan dilihat sedang menghadapi serangan padu oleh pasukan gempur Barisan Nasional.

Di Kedah, pembongkaran demi pembongkaran telah dibuat oleh Barisan Nasional ke atas kepincangan pengurusan Kerajaan Negeri PAS. PAS Kedah pula seolah-olah telah dibiarkan oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk mempertahankan diri mereka sendiri. Pakatan Rakyat seperti sudah menerima hakikat bahawa Kedah tidak dapat dipertahankan lagi.


Gelombang Merah yang melanda Kelantan bukan lagi satu omong kosong lagi. Gerakan tersusun yang dikepalai oleh Tok Pa telah lama menyusun langkah dan dilihat mampu memberikan tentangan hebat terhadap kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru Nik Aziz. PAS Kelantan telah sekian lama diberi peluang oleh rakyat untuk membawa kemajuan namun sikap “tidak apa” Tuan Guru Nik Aziz mengecewakan. Kemelut akhlak yang melanda beberapa tokoh PAS dijangka akan merencatkan usaha PAS untuk mempertahankan Kelantan.

Tuan Guru Nik Aziz pula sibuk dibawa sebagai pelaris ceramah di seluruh negara. Jalinan mesra yang dimeterai di dalam Pakatan Rakyat bersama komponen lain juga dilihat kian longlai dan mampu merencatkan jentera Pilihan Raya mereka. Oleh itu, sekiranya Barisan Nasional Kelantan mampu bergerak sebagai satu unit dan bekerja keras, tidak mustahil Kelantan akan kembali ke pangkuan Barisan Nasional.

Di Pulau Pinang pula, tidak lagi kedengaran cakap-cakap kedai kopi yang menyatakan bahawa mustahil buat Barisan Nasional untuk mendapatkan semula Pulau Pinang. Kerja keras Barisan Nasional Pulau Pinang selama ini mendedahkan setiap kepincangan di bawah pemerintahan Ketua Menteri Lim Guan Eng semakin membuka mata rakyat Pulau Pinang. Kerajaan negeri Pulau Pinang pula secara sistematik cuba untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi eksklusif buat rakyat yang berada.

Apa tidaknya, harga hartanah di Pulau Pinang semakin melonjak dan projek-projek yang diperkenalkan juga hanya mensasarkan golongan yang berada. Apabila Datuk Seri Najib Razak perkenalkan perumahan mampu milik PR1MA, rakyat Pulau Pinang menyambutnya dengan tangan terbuka. Tidak mustahil Rakyat Pulau Pinang mampu diyakinkan dengan dasar dan polisi kerajaan yang jelas mengutamakan kepentingan rakyat.

Kesimpulannya, kecenderungan Pakatan Rakyat mensasarkan negeri-negeri kubu kuat Barisan Nasional dilihat mampu menjadi punca kejatuhan mereka. Tumpuan seharusnya diberikan untuk mempertahankan negeri-negeri yang telah dimenangi mereka pada Pilihan Raya yang lepas. Di dalam arena sukan, ada satu mantra yang selalu dimainkan iaitu “untuk memenangi sesuatu adalah senang, namun hendak mempertahankannya pula adalah sangat susah sekali”.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...