Darahsatriadotcom

Thursday, 23 May 2013

Terkini : Jusuf Kalla Tunduk Kepada Anwar!

Bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengakui usaha beliau untuk mendamaikan perseteruan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan tercapai 100 peratus.
 
Perkara tersebut, jelas beliau, disebabkan sikap Ketua Pembangkang itu sendiri yang tidak komited terhadap usaha tersebut. Beliau berkata, sikap Anwar itu bertentangan dengan Najib yang sentiasa bersedia menjalankan komitmen tersebut.

"Saya ke sana (Kuala Lumpur) kerana kedua-dua itu teman saya, tetapi tidak 100 peratus kita bisa capai akibat mungkin kerana bapa Anwar tidak terlalu menjalankan komitmen.

"Padahal komitmennya ialah selepas pemilu (pilihan raya), mereka berdamai. Kemudian apabila sesiapa pun yang kalah mengakui si pemenang dan yang menang mengundang yang kalah untuk membentuk pemerintahan.

"Bapak Anwar tidak terlalu komitmen. Najib siap untuk menjalankan komitmen ini," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan bual bicara Indonesia, Late Nite Show With Omesh hari ini.

Sebelum ini, Jusuf dilaporkan sedang merintis satu usaha untuk mendamaikan perseteruan politik antara Najib dengan Anwar.

Usaha yang dilakukan atas dasar kedua-dua mereka adalah sahabat baik Jusuf dan bagi menjaga kepentingan Malaysia dan Indonesia. Walau bagaimanapun setakat ini belum diketahui hasilnya.

Jusuf yang ke Kuala Lumpur bersama beberapa orang bekas menteri Indonesia pada 5 Mei lalu semasa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 diumumkan telah menemui Anwar pada malam tersebut bagi menyatakan hasratnya itu.

Dalam pada itu, Jusuf berkata, perdamaian adalah sesuatu yang diperlukan di sesebuah negara bagi mengelakkan banyak perkara tidak diingini daripada berlaku. Kata beliau, seperti di Aceh dan Ambon, konflik telah menyebabkan banyak nyawa terkorban serta menyusahkan kehidupan seharian rakyat.

"Kalau ertinya untuk menghindari konflik ataupun perang, ya damai. Kedamaian itu memerlukan sesuatu cara bagaimana mereka yang berkonflik ini bertemu, dengan cara yang elegan dan kesatria yang baik begitu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...