Seorang lagi pemimpin Pas secara terbuka menolak
usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan Kerajaan
Persekutuan yang dipilih secara sah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum
Ke-13 melalui siri perhimpunan jalanan dengan menyifatkan tindakan
tersebut sebagai gopoh.
Malah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd. Abduh Nik Abdul
Aziz mengajak orang ramai memikirkan kemenangan melalui kesabaran,
bukannya melalui ledakan di jalan raya.
"Anda terfikir untuk 'spring' dan memperolehi kerajaan melalui ledakan di jalan raya?
Itu adalah gopoh.
"Fikirkan kemenangan melalui kesabaran. Kesabaran adalah kunci yang
membuka. Apa perlu kemenangan yang isinya belum ranum," katanya menerusi
laman Facebook beliau hari ini.
Niat pembangkang mencetuskan huru-hara bagi menggulingkan kerajaan
Barisan Nasional (BN) yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 5 Mei
lalu semakin jelas selepas melakukan beberapa siri demonstrasi sebelum
ini selain merancang siri demonstrasi lain pada masa depan.
Malah, hasrat jahat pembangkang itu turut yang dinyatakan aktivis
jalanan propembangkang, Hishamuddin Rais dan aktivis mahasiswa
propembangkang, Adam Adli Abd. Halim dalam Perhimpunan 13 Mei di Dewan
Perhimpunan Cina Selangor minggu lalu.
Terdahulu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam Facebooknya
berkata, pihaknya berpegang teguh bahawa demokrasi merupakan jalan
terbaik untuk menukar kerajaan di negara ini.
Jelasnya, pendirian beliau itu selari dengan kepimpinan Pas Pusat
yang sejak dahulu sentiasa memilih jalan demokrasi untuk menukar
kerajaan.
Menurut Nik Mohd. Abduh, golongan muda perlu insaf kerana semangat
berkobar-kobar tidak boleh meminggirkan sifat sabar dalam memburu
kemenangan.
"Padukan tenaga. Tambahkan bilangan. Berikan senjata ilmu dan
maklumat untuk anak muda. Gerhana bulan adalah kekuatan dan keagungan,
bukan kesedihan dan ketakutan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...