Darahsatriadotcom

Friday, 24 May 2013

Tiada Lagi Amaran.. Hanya Tindakan Tegas!

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua serta dua individu propembangkang, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim dan Tamrin Abdul Ghafar ditahan polis tengah hari ini kerana dipercayai menghasut orang ramai bagi menggulingkan kerajaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 berkaitan ucapan ketiga-tiganya dalam satu forum mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina di sini pada 13 Mei lalu.

"Tian Chua ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang dekat sini, sementara Tamrin ditahan di Bangsar dan Haris pula di Segambut.

"Setakat ini mereka masih lagi dalam tahanan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur, Jinjang. Sama ada mereka ditahan reman atau sebaliknya bergantung pada proses siasatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa Akta Hasutan 1948 telah dimansuhkan, Mohmad menegaskan, akta tersebut masih berkuat kuasa serta diguna pakai oleh pihak polis dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan mengikut akta tersebut dan sekiranya ada bukti menunjukkan kesalahan itu berlaku, polis akan dakwa pesalah di mahkamah. Sama ada akta itu sah atau tidak itu bergantung kepada keputusan mahkamah," ujarnya.

Sementara itu, Mohmad berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi lagi dengan mana-mana pihak yang cuba mengadakan perhimpunan di lokap atau pusat tahanan bagi mendesak polis membebaskan tahanan.

"Jika ada rasa tidak puas hati, bukan cara protes di jalanan, sila bawa ke mahkamah atau saluran-saluran betul yang kita ada," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...