Darahsatriadotcom

Thursday, 16 May 2013

Tindakan Memalukan Dan Tidak Berasas...

Tindakan pihak tertentu termasuk pembangkang menimbulkan fitnah dengan menuduh kerajaan Barisan Nasional (BN) 'mengimport' warga Bangladesh sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu adalah tidak berasas dan memalukan.
 
Perkara tersebut ditegaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia, A.K.M. Atiqur Rahman yang menyangkal fitnah itu serta menyifatkan tindakan pihak terbabit sebagai tidak bijak.

Menurutnya, pihak berkenaan terutama pembangkang sepatutnya mengemukakan bukti dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika benar terdapat warga Bangladesh 'diberikan' hak untuk mengundi di negara ini.

"Dakwaan sebegini adalah tidak berasas dan merupakan satu kenyataan bodoh, khususnya yang menyatakan Malaysia telah menerbangkan puluhan ribu rakyat Bangladesh ke sini. Kalau ada bukti, buatlah laporan.

"Inilah, kalau kita percaya kepada Tuhan, kita tidak akan membuat tuduhan sebegini. Jika yang menuduh itu orang Islam, ingatlah kepada dosa. Tuduhan-tuduhan seperti itu juga memalukan kami kerana kami adalah manusia. Jika mereka manusia, mereka tak akan buat sebegini (fitnah)," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pembangkang yang menimbulkan fitnah dan tuduhan tidak berasas termasuk menuduh BN 'mengimport' puluhan ribu warga Bangladesh sebagai pengundi pada pilihan raya umum lalu.

Jelas beliau, jika dikatakan terdapat orang Bangladesh mengundi pada pilihan raya umum lalu, perkara itu sebenarnya berlaku tetapi melibatkan mereka yang telah diberikan kerakyatan Malaysia berpuluh tahun lalu.

"Jumlah ini tidak ramai, cuma beberapa ratus sahaja. Mereka adalah rakyat Bangladesh yang berhijrah ke negara ini sebelum Perang Dunia Kedua dan telah diberikan kerakyatan.

"Jadi mereka ini adalah rakyat Malaysia dan mempunyai hak untuk menjalankan tanggungjawab mengundi," katanya.

Kepada soalan sama ada pembangkang ada menyerahkan memorandum berhubung dakwaan kerajaan BN 'mengimport' warga Bangladesh sebagai pengundi, ujarnya, sehingga kini pihak kedutaan masih belum menerima sebarang bantahan terbabit.

Ketika ditanya tentang berita asing kononnya Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina akan bertanding pada Pilihan Raya Umum 2018 di negara ini seperti tersebar dalam media sosial, jelasnya, laporan itu adalah 'sampah' dan tidak benar.

"Laporan 'sampah' ini dilakukan oleh orang gila," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau ketika diminta memberikan reaksi berhubung perjalanan pilihan raya umum di negara ini berkata: "Saya berpeluang melawat beberapa pusat pengundian dan perkara itu berjalan penuh aman dan sistematik."

Berhubung tindakan pembangkang menganjurkan demonstrasi membantah keputusan pilihan raya lalu, katanya, walaupun golongan itu mempunyai hak untuk berbuat demikian, mereka juga sepatutnya menghormati hak orang lain.

Sumber : © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...