Darahsatriadotcom

Friday, 10 May 2013

Wajib Baca: BN Pertahankan Kuasa dan Terima Pengajaran Politik Baru...

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU-13) sama sekali tidak mengejutkan. Berdasarkan strategi yang diatur oleh Pakatan Rakyat dengan serangan utama disasarkan ke negeri Johor, jelas sekali DAP adalah perancang utama Pakatan Rakyat dan menjadi kuasa penentu dalam pemilihan calon sehinggakan Chua Jui Ming sendiri akhirnya terpaksa akur apabila 'ditendang' ke Segamat.

DAP yang mensasarkan kawasan boleh menang mereka di kawasan undi penentu Cina juga secara licik berjaya menjadikan Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan lain-lain pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat sebagai promoter dan penggempur tembok kebal Melayu di Johor dengan sangat berkesan.

Biarpun ramai yang mengeluh, kecewa, marah dan bimbang dengan tsunami Cina itu, ia perlu dilihat sebagai suatu rahmat yang datang bersama ingatan dan amaran bahawa cabaran politik Islam-Bumiputera-Melayu di masa depan amatlah getir, kritikal dan sangat mencabar.
 
Sudah dua kali BN terselamat daripada kehilangan kuasa dalam PRU-12 dan PRU-13. Sudah dua kali juga kita terpaksa berhempas pulas cuba memenangi hati rakyat bukan bumiputera khususnya orang Cina dengan pelbagai tawaran yang sarat dengan pelbagai kompromi dalam pendidikan, ekonomi, dasar meritokrasi hatta Dasar Ekonomi Baru (DEB) biarpun kompromi ini sangat mengguris hati bumiputera. 


Sangat benar kenyataan bahawa apa lagi yang dimahukan bangsa Cina.

Cukup, cukup sudah ! BN khususnya UMNO perlu memberikan reaksi dan menyahut cabaran yang diberikan dengan penuh berani dan jauh sekali dari bersikap apologetik. Tidak mengapa jika pengundi Cina tidak menerima segala pembaharuan dan kompromi walaupun Perikatan dan BN sebenarnya telah memberikan yang terbaik kepada rakyat negara ini sejak merdeka lagi. Pedulikan mereka. DEB yang lebih pragmatik dan inklusif perlu diperkenalkan semula. 

Kementerian Pembangunan Usahawan dan dasar-dasar yang memberikan keutamaan kepada agenda ekonomi bumiputera dan rakyat berpendapatan rendah perlu dipulihkan semula sebagai tanda penghargaan di atas sokongan dan kesetiaan mereka kepada UMNO dan BN. Begitu juga dengan dasar meritokrasi yang wajib diolah semula bagi meneruskan semula agenda bumiputera yang belum selesai itu. 

Jika benar kita mendokong demokrasi, ini juga adalah sebahagian daripada aspirasi bumiputera yang perlu dipenuhi oleh kerajaan BN yang disokong dan terus 'survive' kerana sokongan bumiputera dalam proses demokrasi PRU-13 ini.

Pimpinan utama UMNO sebenarnya tidak perlu lagi membuang masa, wang dan tenaga untuk memujuk pengundi Cina. Tranformasikanlah semula parti UMNO supaya kelihatan lebih cerdik, profesional dan dihormati oleh bumiputera khususnya kelas menengah bumiputera yang sebenarnya adalah merupakan opinion leaders atau pemimpin pemikir yang sangat terbuka, moderate, kritis dan tidak bersedia menerima kepandiran politik dalaman UMNO khususnya dalam pemilihan calon-calon PRU yang sebilangannya mampu menang hanya kerana ikatan emosi yang masih tersisa dengan UMNO-BN.

Pada masa sama, inisiatif perlu digerakkan untuk suatu permuafakatan di antara UMNO, parti-parti bumiputera di Sabah dan Sarawak bersama-sama pemimpin Pas dan pemimpin Melayu PKR supaya sentiasa ada pendirian bersama dalam isu-isu berkaitan kedudukan agama Islam, hak-hak keistimewaan bumiputera serta juga kedudukan Raja-Raja Melayu. 

Gerakan penyatuan ini perlu dimulakan dengan kesemua pihak menghentikan terlalu banyak keterlanjuran dan tindakan melampaui batas dalam peperangan politik sesama kita yang terlalu menghilangkan rasa hormat dan sangat mengguris itu.

Sesungguhnya peperangan politik sesama Melayu Islam terkini begitu mengharu-birukan kita kerana ia telah menular kepada kalangan intelek, golongan agamawan, komuniti perniagaan, pemimpin NGO dan lain-lain lagi. Suasana ini sangat kronik sehingga di sebalik perseteruan sesama insan politik, insan intelek, agamawan, ahli perniagaan dan insan sukarelawan NGO ikut terbabit dan berperang politik sehingga naik 'hangit' kita dibuatnya. 

Agenda bumiputera juga telah lama terabai kerana masing-masing pemimpin politik Melayu tenggelam dalam keasyikan jualan murah dengan masing-masing menawarkan diskaun atau potongan harga hak keistimewaan bumiputera demi memikat pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina itu. Cukuplah dengan drama laporan-laporan polis yang bertali arus dan tidak habis-habis itu.

Keputusan PRU-13 sesungguhnya tidak wajar dikesali atau ditangisi. Ia hanya suatu fasa dalam perjuangan. Kemenangan terbesar dalam PRU-13 ini adalah kejayaan Melayu UMNO, bumiputera Sabah dan Sarawak serta BN mempertahankan kuasa dan menerima pengajaran politik baru. 

Sambil kerajaan BN meneruskan dasar-dasar yang pragmatik dan berpandangan jauh, kerajaan BN wajib kembali ke dasar, pulang ke akar umbi, menoleh ke kampung dan desa, menjenguk semula ke sektor pertanian di mana majoriti Melayu dan bumiputera terhimpun dan setia mempertahankan UMNO-BN. 

Jika kerajaan boleh berbelanja sebesar lebih RM 30 billion untuk pengundi bandar yang tidak menyokong kita dalam projek MRT di Lembah Klang, alangkah besarnya perubahan jika dana sebesar itu disediakan untuk pembangunan sektor ekonomi luar bandar yang setia itu. Cukup, cukup sudah!

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...