Anwar dan sekutu-sekutunya dilaporkan berbuat demikian kira-kira sejam selepas polis menahan sekumpulan 200 peserta perhimpunan haram yang bertindak ganas merempuh kawalan polis yang mengawal perkarangan Bangunan Parlimen.
Tindakan ganas itu dilakukan oleh saki-baki kumpulan yang sebelum ini menyertai perhimpunan haram di Padang Merbok yang berpunca daripada seruan Anwar supaya rakyat turun beramai-ramai ke perhimpunan berkenaan bagi membantah keputusan PRU-13.
Ternyata, peserta-peserta berkenaan yang ada antara mereka 'berkampung' di dalam khemah di Padang Merbok sejak Sabtu lalu telah diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.
Segala susah-payah mereka dalam perjuangan sia-sia itu tidak membawa apa-apa makna kerana Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang tetap mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Kalau benarlah pemimpin pembangkang mendakwa pilihan raya umum lalu penuh kepincangan dan penipuan, kenapakah mereka mahu mengiktiraf keputusan yang berpihak kepada mereka tetapi menolak kemenangan yang menyebelahi BN?
Sepatutnya sama ada perhimpunan haram atau keganasan di hadapan bangunan Parlimen tersebut tidak akan berlaku, jika Anwar berjiwa besar untuk menasihatkan penyokong-penyokong supaya menghormati proses melakukan bantahan iaitu melalui petisyen kepada mahkamah.
Namun malangnya, Anwar tidak berbuat demikian, beliau seolah-olah bangga apabila ramai anak muda yang terpengaruh dengan dakyah beliau khususnya kelompok yang bergabung dalam Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
Dengan jumlah kehadiran di Padang Merbok tidak mencapai sasaran pakatan pembangkang, ia sepatutnya memberikan kesedaran kepada Anwar bahawa perjuangan beliau melakukan politik jalanan tidak akan berhasil. Mana mungkin kalau setakat 200 orang yang berkumpul di hadapan Bangunan Parlimen akan mampu melunturkan semangat perjuangan pegawai-pegawai SPR.
Bagaimanapun, apa yang kita saksikan, Anwar terus memberi galakan kepada kumpulan berkenaan untuk melakukan bantahan. Ketika kelompok itu menyusahkan diri sendiri dan mungkin juga menunjukkan kebodohan mereka dengan tidur dalam keadaan berjerebu, Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang lain selesa berada di kediaman masing-masing membuat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
Setakat melahirkan penghargaan kepada perjuangan kelompok itu, ia tidak membawa makna apa-apa. Sepatutnya kalau Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang benar-benar bertekad bahawa berlaku penipuan dalam PRU-13, mereka juga akan bersama-sama kumpulan itu yang antara lain mahukan pemimpin-pemimpin pembangkang tidak mengangkat sumpah.
Jelaslah, Anwar dan pemimpin-pemimpin pembangkang yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, semalam menunjukkan sikap hipokrit pada tahap paling tinggi yang tidak mungkin ada kepada mana-mana Ahli Parlimen di seluruh dunia.
Apa pun yang paling malang ialah penyokong-penyokong mereka yang begitu mudah diperbodohkan sehingga sanggup berkhemah, bermalam dan berbaring di jalan raya serta ditangkap oleh polis.
Segala-galanya berpunca daripada sikap hipokrit dan watak 'sesumpah' pemimpin pembangkang seperti Anwar!
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...