Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa
mengadakan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan kerusi ekoran
tindakan wakil rakyat pembangkang yang mahu memboikot majlis angkat
sumpah di Parlimen pada 24 Jun ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, keadaan itu
juga sekiranya berlaku akan menyusahkan dan membuang masa rakyat serta
kewangan banyak pihak.
"Sekiranya pilihan raya kecil terpaksa dijalankan, memang benar ia
memerlukan perbelanjaan yang besar, membuang masa dan tenaga banyak
pihak. SPR berharap itu tidak berlaku," katanya kepada Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR),
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertimbangkan untuk memboikot majlis
angkat sumpah di Parlimen kerana mendakwa wujud penipuan dalam pilihan
raya umum lalu.
Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
menegaskan mana-mana Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah pada
hari pertama sidang Dewan Rakyat pada 24 Jun ini tanpa alasan munasabah
dan dalam tempoh enam bulan selepas tarikh itu, boleh dilucut atau
hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mengikut Perkara 59(1)
Perlembagaan.
Abdul Aziz berkata, walaubagaimanapun beliau difahamkan semua wakil
rakyat pembangkang akan hadir mengangkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun
ini.
Namun, katanya, sekiranya wakil rakyat tidak hadir dalam tempoh
demikian, Yang Dipertua Dewan Negara mempunyai kuasa untuk mengambil
tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat memaklumkan kepada
SPR bahawa telah berlaku kekosongan kerusi.
"Kemudian SPR akan membuat keputusan muktamad sama ada berlaku
kekosongan luar jangka atau tidak dan seterusnya menentukan untuk
mengadakan pilihan raya kecil," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar
berkata, SPR terpaksa mengeluarkan perbelanjaan mengikut kawasan kerusi
yang dikosongkan dengan melihat kepada faktor-faktor seperti jumlah
pengundi dan keluasan kawasan.
"Sekiranya keluasan kawasan kerusi besar dan pengundi pula ramai,
maka lebih besar perbelanjaan yang perlu dikeluarkan SPR," katanya.
Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di negara
ini apabila wakil rakyat tidak mahu mengangkat sumpah tanpa sebab yang
munasabah sehingga terpaksa diadakan pilihan raya yang lain.
Namun beliau percaya, wakil rakyat pembangkang tidak akan melepaskan
dengan mudah kerusi yang telah dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum
ke-13 lalu dengan tidak mengangkat sumpah di Parlimen nanti.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...