Sikap tamakkan kuasa Datuk Seri Anwar Ibrahim
terserlah apabila Ketua Pembangkang itu tergesa-gesa ingin merampas
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang kosong selepas
penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
berkata, sikap yang ditunjukkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)
tersebut jelas tidak menghormati keluarga Allahyarham yang masih
bersedih.
"Saya rasa Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersabar dahulu kerana bagi
kami perlu hormati keluarga arwah yang masih sedih atas pemergian
Allahyarham.
"Inilah sikap orang politik pembangkang, baginya itu adalah perkara
yang menggembirakan, kemudian tunjuk sikap tamak untuk terkam kerusi di
situ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Anwar semalam bahawa kerusi yang
dikosongkan Allahyarham itu merupakan peluang terbaik kepada pembangkang
merampas kembali kawasan berkenaan.
Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diluahkan semalam iaitu
pada hari A. Rahman meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah
akibat komplikasi paru-paru.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, Allahyarham menang terhadap calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah (6,375 undi).
Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemanan berkata, calon bagi kerusi
tersebut hanya akan diputuskan selepas keadaan reda bagi menghormati
keluarga Allahyarham.
"Bagi saya, ini masih waktu bersedih untuk kami," katanya lagi.
Jelasnya, sebarang perbincangan tentang nama calon tidak wajar
dilakukan sekarang memandangkan pihak keluarga masih bersedih dan perlu
menunggu notis dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang kekosongan
kerusi tersebut.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...