Darahsatriadotcom

Saturday, 29 June 2013

Aset DAP Dipindah Milik?

DAP didakwa sedang dalam proses memindahkan pemilikan aset parti yang bernilai jutaan ringgit kepada beberapa individu paling dipercayai dan lama dalam parti itu.
 
Aktivis MIC, Datuk R. Ramanan mendakwa, rancangan itu dipercayai berkait rapat dengan tekanan yang sedang dihadapi oleh DAP supaya diadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC).

Beliau turut mendakwa, hanya dengan pembatalan pendaftaran parti oleh ROS, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkemungkinan besar akan dapat menyingkirkan sejumlah besar kumpulan yang tidak menyokongnya khususnya yang berketurunan India.

Menurutnya, Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang bimbang sekiranya pendaftaran parti itu dibatalkan, aset yang dimiliki oleh parti itu seperti bangunan mereka (Wisma DAP di Pulau Pinang dan Perak), pejabat, saham, wang serta aset lain akan dibekukan sekiranya terdapat bukti ada unsur manipulasi dalam pemilihan CEC Disember lepas.

"Saya mendapat maklumat daripada seorang pemimpin dalam DAP sendiri tentang rancangan ini. Beberapa individu veteran parti yang selama ini setia bersama parti dan beberapa ahli yang hanya taat setia dengan 'dinasti' telah dipilih sebagai orang kepercayaan bagi 'menjaga' harta-harta itu.

"Saya tidak menuduh tetapi saya mohon penjelasan daripada Guan Eng.

"Adakah khabar angin ini benar? Jika tidak, nafikan sahaja, tidak perlu bercerita banyak. Sekurang-kurangnya penjelasan ini akan memberi sedikit kelegaan buat ahli yang lain selain penyokong DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu pemilihan CEC parti menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberi notis kepada 753 perwakilan untuk mengundi pada pemilihan tahun lalu selain timbul kemusykilan insiden memalukan salah kira undi.

Keputusan pemilihan itu yang diadakan pada 15 Disember tahun lalu juga menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih, tetapi selepas 19 hari berlalu, DAP tiba-tiba mengumumkan berlaku kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dan mengisytiharkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari sebagai ahli CEC.

Dakwa Ramanan, untuk mengaburi mata ahli DAP yang mendesak mahu pemilihan semula, Guan Eng kini begitu agresif bercakap tentang jerebu dan juga kejadian ribut melanda di Pulau Pinang baru-baru ini yang mengorbankan dua nyawa selain rod penebat kilat yang terletak di atas Menara UMNO patah dipukul angin kuat, seterusnya menghempap lapan kenderaan.

"Pemindahan aset telah dirancang sejak Pendaftar Pertubuhan (ROS) mula menyiasat unsur manipulasi undi dan penafian 753 ahli yang tidak dibenarkan mengundi pada pemilihan lepas. Namun pemindahan hanya awal bulan ini.

"Untuk mengalihkan perhatian umum, maka Guan Eng begitu agresif bercakap tentang jerebu dan isu ribut di Jalan Macalister baru-baru ini. Beliau begitu agresif menyerang kerajaan, sebenarnya beliau berniat untuk mengalihkan perhatian daripada menghidu perbuatan ini," dakwanya.

Namun demikian, menurut Ramanan, anak beranak dinasti Lim itu juga sebenarnya lebih rela andai pendaftaran parti itu dibatalkan supaya mereka berdua boleh menubuhkan DAP baru dengan hanya merekrut kroni-kroninya sahaja.

"Sebenarnya Dinasti Lim berhasrat 'menguburkan' legasi pengasas sebenar DAP, bekas Presiden Singapura, C. V. Devan Nair yang berketurunan India. Mereka berdua mahu mengasaskan parti mereka sendiri. Kedua, sekiranya pemilihan semula diadakan semula dengan kehadiran 753 ahli yang dinafikan hak mereka, maka keputusan tidak akan sesekali berpihak kepada mereka.

"Saya cabar Guan Eng supaya segera tampil nafikan semua tuduhan ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...