Darahsatriadotcom

Tuesday, 11 June 2013

Boikot Bakal Makan Diri...

Niat pembangkang untuk boikot persidangan Parlimen kali ini boleh membawa padah kerana mereka berisiko untuk hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas hari pertama persidangan Dewan Rakyat tanpa alasan akan gugur kelayakan sebagai ahli parlimen.

"Mengikut perlembagaan, artikel 59 (1) kalau ahli Yang Berhormat yang tidak mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan selepas persidangan pertama selepas pilihan raya, maka dia akan disqualified (sebagai ahli parlimen)," katanya.

Tegasnya, beliau sendiri tidak akan teragak-agak untuk memboikot ahli Parlimen pembangkang untuk upacara angkat sumpah di hari yang lain.

"Kalau mereka boleh boikot sistem demokrasi, saya juga akan memboikot mereka jika mereka mahu mengangkat sumpah pada hari lain.

"Ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah tidak akan dibenar berada dalam Parlimen atau menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat," katanya.

Katanya, perkara boikot seperti ini belum pernah berlaku sejak Merdeka.

"Kalau ada orang yang kata itu hak mereka atas nama demokrasi, kami pun boleh boikot, timbalan-timbalan saya pun boleh boikot.

"Jika ada alasan yang boleh terima, sakit atau sebagainya, tapi takkan 89 sakit secara serentak," katanya.

Ketika ditanya, apakah tindakan yang akan dikenakan kepada ahli Parlimen yang memboikot, Pandikar berkara, perkara tersebut belum diputuskan lagi.

"Ia belum boleh diputuskan kerana ia belum lagi berlaku.

"Saya berharap perkara ini (boikot) tidak akan berlaku dan persidangan akan berjalan seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, PR dalam beberapa kenyataannya menyebut akan memboikot Dewan Rakyat berikutan tidak bersetuju dengan keputusan PRU13 yang dianggap berlaku banyak penipuan dan tiada ketelusan.

Terdahulu, Pandikar diminta mengulas saranan NGO tertentu agar wakil rakyat PR memulaukan majlis angkat sumpah di Parlimen.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan sebagai tanda memulaukan sesi Parlimen kali ini.


No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...