Darahsatriadotcom

Saturday, 15 June 2013

Desakan Pembangkang Bodoh!

Desakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar seluruh kepemimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan kerana tidak boleh menerima kekalahan adalah idea bodoh dan mereka yang membuat desakan tersebut tidak layak menjadi Ahli Parlimen.
 
Timbalan Wrip Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sehubungan itu berkata, jemaah menteri tidak akan sesekali tunduk kepada desakan bodoh berkenaan kerana tidak mungkin sistem pilihan raya di Malaysia berlaku penipuan seperti dituduh pembangkang.

Jelasnya, pilihan raya umum di Malaysia baik di peringkat persekutuan dan negeri berlangsung secara serentak oleh pengundi sama, diperhati wakil ejen setiap calon bertanding, ada senarai daftar pemilih serta dakwat kekal yang tidak memungkinkan sebarang penipuan berlaku.

"Macam mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor sudah angkat sumpah? Macam mana yang mereka menang sah, yang kalah tidak sah? Inilah kebodohan dan orang ramai yang waras jangan terpengaruh dengan kebodohan ini.

"Waktu mengundi setiap parti berhak meletakkan ejen. Pembangkang mereka memiliki wakil ejen lebih ramai berbanding calon BN kerana mereka tidak bertanding di bawah satu lambang, kalau ada penipuan masa pilihan raya saya nak tanya adakah ejen-ejen pembangkang ini tidur," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelepasan program Kembara Dunia 1Malaysia yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Mengenai tindakan 88 ahli Parlimen pembangkang tidak hadir sesi taklimat perjalanan Dewan Rakyat kelmarin dan kemungkinan mahu memboikot proses angkat sumpah 24 Jun ini, Mohamed Nazri berkata, ia satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta rakyat.

Katanya, jika pembangkang terus berdegil dan tetap tidak mahu mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen, mereka bukan sahaja tidak dibenarkan memasuki Dewan Rakyat tetapi kelayakan sebagai ahli Parlimen akan terbatal dalam masa enam bulan.

"Pembangkang terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lupa yang dia ini umur sudah dekat 70 tahun tapi nak berlagak macam ketua pelajar. Saya dulu pun ketua pelajar tapi zaman kita dah berlalu, kita kena sedar sudah tua. Janganlah buat perangai macam tak sedar diri.

"Kalau sudah kalah terimalah kekalahan. Apa Anwar ingat dia boleh menang? Rakyat tak mahu pembangkang hendak cukuplah. Rakyat pilih mereka menjadi wakil rakyat untuk berkerja sebagai ahli Parlimen bukan membuat benda-benda bodoh seperti ini," ujarnya.

Menyentuh mengenai siri demonstrasi pembangkang pula, Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan secara sinis berkata, beliau berhajat untuk menjadikan demonstrasi itu sebagai salah satu produk pelancongan jika pelancong mahu melihat demokrasi Malaysia.

"Kalau mereka boleh buat selalu demonstrasi ini, saya nak buat sebagai produk pelancongan bagaimana demokrasi di Malaysia berjalan sebab selepas pilihan raya pun masih berlaku demonstrasi dengan perangai ala-ala Orang Utan pemimpin pembangkang," katanya sinis.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...