Ramai juga menganggap, Wanita Pertama boleh berbuat apa saja kerana suami mereka adalah individu paling berpengaruh dalam negara. Realitinya, keadaan berkenaan tidak seperti yang disangka.
Saya pernah menyuarakan kepada suami mengenai rancangan pendidikan awal kanak-kanak yang menjadi agenda perjuangan saya, tetapi tidak diterima pakai suami kerana saya isterinya dan dia tidak akan mengambil kira pendapat isteri." Datin Seri Rosmah Mansor.
Forum Wanita Pertama sempena Sidang Kemuncak Wanita Global 2013 yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini membuka mata dan minda tanggapan ramai, sebagai isteri kepada pemimpin atau ketua negara, Wanita Pertama turut menggalas tanggungjawab berat dan mempunyai peranan tersendiri, khususnya terhadap kesejahteraan wanita seluruh negara.
Wanita Pertama negara, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata beliau mempunyai kekangan tertentu apabila berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perancangannya terhadap memartabatkan wanita dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
“Saya pernah menyuarakan kepada suami mengenai rancangan pendidikan awal kanak-kanak yang menjadi agenda perjuangan saya, tetapi tidak diterima pakai suami kerana saya isterinya dan dia tidak akan mengambil kira pendapat isteri.
“Justeru, saya memikirkan perancangan lain dengan meminta cendekiawan negara mengusulkan kepada Perdana Menteri mengenai pendidikan awal kanak-kanak di negara ini yang perlu diberi penekanan dan usul berkenaan diterima serta dilaksanakan,” katanya pada forum yang dikendalikan Koresponden Berita dan TV Reuters, Cathy Yang.
Selain Rosmah, panel undangan pada forum berkenaan ialah Wanita Pertama Zambia, Dr Christine Kaseba; Wanita Pertama Namibia, Penehupifo Pohamba dan Wanita Pertama Laos, Keosaycha Sayasone.
Penuhi harapan ramai
Kata Rosmah, sebagai Wanita Pertama, beliau perlu mempunyai alternatif dalam usaha memajukan institusi keluarga negara selain membantu meningkatkan ekonomi wanita terutama ibu tunggal di negara ini.
Tidak terkecuali katanya, harapan yang tinggi terhadap Wanita Pertama daripada wanita seluruh negara membuatkan beliau sentiasa memikirkan cara terbaik meningkatkan mutu kehidupan wanita yang juga menjadi tunggak utama dalam keluarga.
“Negara mempunyai ramai cerdik pandai dan mereka yang berkebolehan, jadi gabungan tenaga dan ilham pemikiran mereka sangat diperlukan bagi menjayakan pelbagai program yang dirancang.
“Saya mempunyai pegawai terbaik untuk merangka dan melaksana segala perancangan serta saya juga mengatur pertemuan mereka dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan tujuan sesuatu program,” katanya yang begitu teruja apabila membicarakan mengenai program pendidikan awal kanak-kanak, Program PERMATA Negara, yang juga menjadi legasi beliau sebagai Wanita Pertama.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...