Darahsatriadotcom

Thursday, 20 June 2013

PAS Harapkan UMNO Hulurkan Bantuan!

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob melahirkan harapan agar hubungan dua hala antara kerajaan Pas Kelantan dan Kerajaan Persekutuan diperkukuhkan demi agama Islam dan kemasalahan rakyat negeri ini.

Justeru, beliau meminta para Exco yang dilantik supaya memainkan peranan dan mengambil inisiatif masing-masing agar sebarang kerjasama dan hubungan erat dapat dijalin.

Beliau turut menyatakan kesyukuran kerana wakil rakyat Barisan Nasional (BN) memberi keyakinan dan tanggapan baik kepadanya untuk menjalankan tugas mentadbir Kelantan ke arah yang lebih baik.

"Kelantan mempunyai 1.6 juta penduduk, bagi seorang manusia biasa seperti saya sudah tentu tidak berupaya melihat secara keseluruhan dan melaksanakan amanah yang berat ini.

"Saya berharap bantuan sahabat Exco serta dasar yang diputuskan dalam dewan Insya Allah akan dilaksanakan sepenuhnya oleh semua yang terlibat. Saya juga berterima kasih kerana pembangkang memberi keyakinan dan tanggapan yang baik kepada saya dengan harapan ia dapat mengukuhkan hubungan dua hala dan saya memberi peluang kepada para Exco untuk mengambil inisiatif atas nama Islam dan rakyat.

"Walaupun perjalanan sidang semalam seolah-olah kecoh tetapi bagi saya itu umpama air yang menggelegak di mana bila masak, air boleh diminum dan menjadi manfaat semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan akan berusaha menarik pelabur luar terutamanya dari negara Arab serta pedagang Islam dari China, Hong Kong dan Taiwan melabur dalam industri halal di negeri ini.

Jelasnya, kerajaan akan menubuhkan Sekretariat Kelantan-Arabian Countries yang akan turut memberi penekanan bukan sahaja dalam aspek ekonomi tetapi juga bidang pendidikan.

"Pada tahun lalu Kelantan berjaya menarik pelaburan berjumlah RM2.87 bilion dan usaha kini ditumpukan kepada wilayah Arab di samping jaringan perdagangan dengan persatuan pedagang Islam di China, Hong Kong dan Taiwan.

"Kita mahu meningkatkan bilangan pelabur dalam industri halal dan mencadangkan agar pelabur Arab dapat membina kilang mereka di negeri ini," katanya.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, sepanjang 23 tahun kerajaan Pas Kelantan mentadbir tentu ada banyak pelaksanaan yang sudah 'longgar' dan mahu semua pihak memberi perhatian.

Antaranya, kata beliau, adalah peraturan menutup aurat dan beliau akan mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri mengedar pekeliling baru bagi memperkemas lagi pelaksanaannya terutama di kompleks pentadbiran Kota Darulnaim.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...