Darahsatriadotcom

Monday, 10 June 2013

Pemimpin DAP Dalang Red Bean Army?

Dua pemimpin kanan DAP didakwa bertanggungjawab menyelia kegiatan lebih 200 anggota Red Bean Army di sekitar Pulau Pinang dan Selangor.

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, salah seorang daripada mereka bergelar ahli Parlimen dan seorang lagi memegang jawatan kanan di dalam parti.

Menurut beliau, pasukan tentera siber itu diwujudkan DAP sejak 2008, khusus untuk menyerang kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

"Separuh daripada anggota Red Bean Army menerima bayaran untuk menjalankan kegiatan mereka, manakala bakinya berkhidmat secara sukarela.

"Kira-kira 97 peratus anggota Red Bean Army berketurunan Cina dan bakinya kaum-kaum lain. Setahu saya, tiada orang Melayu di dalam pasukan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Razali mengulas mengenai Red Bean Army yang dibentuk bagi mencipta penipuan dan memanipulasi fakta bukan sahaja untuk menyerang BN, malah sesiapa sahaja yang menyokong parti itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau mengetahui tentang kewujudan Red Bean Army walaupun pendedahan tentang tentera siber pembangkang itu dibuat oleh bekas Setiausaha Eksekutif Pemuda Kebangsaan DAP, Shen Yee Aun.

Tambah Mohamed Razali, anggota-anggota Red Bean Army perlu mengikuti latihan khusus bagi memupuk kebencian terhadap UMNO, Islam dan institusi diraja dalam diri mereka.

"Kita dapat melihat sendiri betapa dahsyatnya mereka memainkan isu perkauman semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini," ujarnya.

Beliau juga tidak terkejut dengan penafian Kit Siang kerana pemimpin-pemimpin DAP sentiasa mendakwa kononnya parti itu mengamalkan politik bersih.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap Red Bean Army.

"Kita bimbang lambat-laun rakyat akan termakan dengan segala fitnah dan hasutan yang disebarkan oleh Red Bean Army," jelasnya.

Kata beliau, kegiatan Red Bean Army perlu dibendung secepat mungkin bagi mengelakkan keamanan dan kestabilan negara terjejas.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...