Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat, Dr. A Rahman Mokhtar,54, yang meninggal dunia di Hospital
Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pagi ini merupakan anak Pulau
Perhentian yang pertama menjadi doktor.
Allahyarham menjadi kebanggaan penduduk pulau masyarakat nelayan
itu apatah lagi beliau kembali bersama untuk mereka sebagai pegawai
perubatan dan kemudiannya sebagai seorang wakil rakyat yang
mengenepikan sentimen politik dalam urusan khidmatnya.
Dikenang sebagai anak nelayan dan seorang pemimpin yang perwatakan
cukup sederhana,senang disapa dan didekati, mudah pula menyulam
senyuman dalam bicara dan dianggap sebagai ahli politik yang lurus,
disenangi rakan dan lawan.
Sebelum dipilih menjadi calon, Allahyarham membuka sebuah klinik di
Kuala Besut yang menjadi pintu masuk dan pintu keluar bagi penduduk
pulau itu ke tanah besar dalam urusan harian mereka.
Bagi kalangan penduduk setempat beliau dianggap sebagai doktor yang
baik hati dan hanya mengenakan caj paling minimum kerana menyedari
kepayahan hidup mereka.
Khidmatnya menjadi bualan ramai dan beliau mulai disorot untuk
memberi khidmat lebih besar dan dipilih sebagai calon Barisan Nasional
(BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dalam Pilihan Raya
Umum 2008.
Beliau menang dengan majoriti 2,631 dan seterusnya dilantik sebagai
sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal
Pengguna negeri dan melalui peranannya, kemudahan kesihatan dan
kebajikan untuk anak negeri jauh mengatasi negeri-negeri lain, malah
dicemburui.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...