Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut
pastinya bakal merasai suasana sambutan Aidilfitri lebih awal atau
lebih panjang tahun ini, jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan dalam
bulan Ramadan atau Syawal.
Kerusi DUN berkenaan ditakdirkan kosong semula hanya selepas lebih
sebulan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berlalu apabila penyandangnya,
Dr. A Rahman Mokhtar,55, meninggal dunia pagi semalam dan PRK akan
diadakan dalam temph 60 hari.
Seminggu sebelum meninggal, Allahyarham yang begitu disenangi
penduduk masih meneruskan tugasan akhirnya dengan menyertai sidang
Dewan Undangan Negeri biarpun menyedari kesihatannya sudah cukup
kritikal ketika itu namun disembunyi kepada umum.
Malah beliau masih ingin mencari kesempatan akhir untuk menemui
rakyat di kawasannya dalam satu majlis meraikan kemenangan Barisan
Nasional ketika sepatutnya sudah menerima rawatan rapi di Hospital
Sultanah Nur Zahirah di sini dengan pengawasan penuh oleh pakar.
Sudah menjadi resam agak 'kejam' dalam politik apabila saat seorang
wakil rakyat tenat dan disusuli kematian, soal PRK akan lebih
diperkatakan umum.
Pemergian Allahyarham yang memaksa berlakunya PRK pertama selepas
PRU-13, merancak permainan politik dengan gendangan yang terus bergema
dan tidak berkesudahan di negara ini selepas pilihan raya umum apabila
terus diheret berpanjangan oleh pembangkang yang merasa mereka berhak
menang.
Sama ada anda berasa cukup jelak, cuak dengan sinario permainan para
pemimpin politik yang berterusan mengejar kuasa kini yang
mencetuskann fenomena jauh lebih membimbangkan berbanding jerebu, anda
terpaksa menerima keadaan ini.
DUN Kuala Besut meliputi kawasan lingkaran pantai dan pulau.
Allahyarham anak Pulau Perhentian dan mengakhiri hayatnya sebagai
pemimpin di kawasan tanah besar dan pulau yang mempunyai tautan kuat
dengan kehidupannya selama dua penggal.
Jika disorot seimbas lalu, sememangnya Kuala Besut boleh dianggap
kawasan kubu UMNO dengan rekod pencapaian PRU 2004 memperlihatkan ia
menguasai 60 peratus undi manakala 61 peratus pada 2008 dan 58 peratus
dalam PRU 2013.
Kuala Besut di kawasan tradisional Melayu dilihatkan sebagai salah
satu medan pertembungan sebenar antara dua parti, UMNO dan Pas untuk
menentukan pengaruh di kalangan kaum yang diwakili, bukannya Barisan
Nasional (BN) dan pakatan pembangkang.
PRK kali ini cukup besar maknanya bagi kedua-dua parti di negeri ini
walaupun tidak merubah apa-apa di peringkat negara dan dibayangkan
menjadi cukup getir kerana bakal menentukan masa depan kerajaan BN di
negeri ini yang cuma kekal berkuasa selepas PRU dengan kelebihan dua
kerusi.
UMNO mesti mengekalkan kelebihan itu untuk memastikan kerajaan tidak
goyah dan dalam keadaan tidak menentu kerana jika kedudukan kerusi
seimbang 16-16, buat pertama kalinya kedudukan DUN akan tergantung
tanpa sokongan majoriti.
Ini pula kesempatan paling berharga buat Pas yang masih ghairah
mengimpikan untuk kembali berkuasa setelah disingkirkan rakyat setelah
sepenggal diberi kepercayaan dan cuma memerlukan tambahan sekitar 8
peratus undi untuk memenangi majoriti mudah.
Parti itu juga telah mengemukakan petisyen bagi membantah keputusan
bagi kerusi DUN Kuala Besut dan Kuala Berang yang memuncakkan lagi
harapan mereka.
Kekosongan yang berlaku mempercepatkan semula peluang Pas untuk
kembali berkuasa tanpa perlu menunggu sepenggal lagi kerana jika
berupaya menguasai Kuala Besut, kemungkinan DUN boleh dibubarkan dan
membuka ruang pilihan raya semula di peringkat negeri.
Ini bagaikan pertembungan antara hidup dan mati dengan kedua-dua
belah pihak pastinya akan berhempas pulas dengan mengumpulkan kekuatan
jentera parti dari seluruh negara untuk memastikan kemenangan.
PKR kali bukan sekadar suatu pertembungan yang mungkin melebarkan
lagi perpecahan umat Islam dan Melayu malah menentukan nasib negeri dan
rakyat Terengganu.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...