DAP mungkin berdepan dengan satu lagi kemelut
dalam kalangan ahlinya sendiri berikutan keputusan 'tergesa-gesa'
kepemimpinan tertinggi untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)
setiap cawangan parti itu sejak dua minggu lalu.
Seorang pemimpin kanan DAP yang enggan namanya disiarkan mendakwa,
AGM itu dipercayai bagi 'mencantas' mana-mana cawangan yang bertindak
lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara pemilihan
Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) pada Disember lepas.
Jelasnya, setiap Pengerusi Negeri telah diberi arahan untuk segera
mengadakan AGM di negeri masing-masing dengan segera namun yang menjadi
persoalan ialah ramai ketua cawangan masih samar-samar dengan keputusan
itu.
"Sejak pemilihan CEC lepas, banyak cawangan yang tampil mengkritik
kepemimpinan parti selain menyoal kesahihan pemilihan tersebut melalui
media dan pemimpin tertinggi DAP itu sendiri. Kumpulan ini terlampau
lantang mendedahkan kepincangan parti kepada umum.
"Mungkin dengan mengadakan pemilihan di peringkat negeri dan
cawangan, beberapa cawangan akan dicantas atau diturunkan dari gred 'A'
kepada 'B' supaya tidak boleh mengundi jika pemilihan semula CEC
diadakan dalam masa terdekat. Mengikut peraturan parti, hanya cawangan
gred A sahaja layak mengundi pada pemilihan parti.
"Antara alasan yang akan diberikan kepada cawangan-cawangan ini ialah
yuran tahunan tidak dijelaskan atau tidak membuat AGM dalam tempoh
ditetapkan, walhal mereka sebenarnya tidak diberikan notis untuk
mengendalikan AGM di cawangan masing-masing. Saya sendiri tidak tahu apa
akan berlaku andainya perkara ini terjadi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isu pemilihan CEC DAP menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud
penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal
memberikan notis kepada 753 perwakilan untuk mengundi pada pemilihan
tahun lalu, selain timbul kemusykilan insiden memalukan iaitu salah kira
undi.
Berdasarkan Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966, ROS tidak memberikan
pengiktirafan kepada pemegang-pemegang jawatan DAP yang dibentuk semasa
pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember tahun lalu dan mengarahkan
pemilihan semula diadakan.
Menurut pemimpin itu lagi, AGM cawangan yang terakhir diadakan pada
2010 dan terpaksa ditunda bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum
Ke-13 baru-baru ini.
Tambah beliau, sebelum ini beberapa pemimpin tertinggi telah cuba
'memujuk' Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya segera mengadakan
pemilihan semula berikutan desakan pelbagai pihak termasuk ROS kerana
imej parti semakin buruk namun tidak diendahkan.
"Saya tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh beliau, mungkin
baginya ini bukan satu perkara yang besar walaupun sudah terlalu ramai
tampil mendesak. Mungkin juga beliau mempunyai 'rancangan' lain untuk
menangani kemelut ini," ujarnya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Strategik MIC, Datuk R. Ramanan
mendakwa, Guan Eng berterusan bermain 'tarik tali' berhubung pemilihan
semula CEC kerana dikatakan mempunyai agendanya sendiri.
"Mengapa sehingga hari ini beliau masih enggan mengadakan pemilihan
semula? Jika benar telus dan bersih, mengapa masih hendak memanjangkan
isu ini? Apakah sebenarnya motif beliau dan bapanya, Lim Kit Siang?
"Kit Siang pernah berdrama sehingga mengalirkan air mata sebelum PRU
lepas, kemudian anaknya, Guan Eng pula manipulasi isi kandungan ROS
selain 'membuang masa' selama satu jam pada pertemuan beliau dengan
Pengarah ROS dengan bercakap tentang perkara yang tiada kaitan dengan
CEC, apakah niat mereka sebenarnya?" katanya.
Ramanan turut melahirkan rasa hairan dengan tindakan Guan Eng yang
asyik mengulangi dakwaannya bahawa ROS berniat untuk membatalkan
pendaftaran parti itu.
"Daripada gaya beliau bercakap, seolah-olah beliau mahu partinya dibatalkan.ROS tidak pernah kata hendak batalkan pendaftaran.
"Adakah dengan membatalkan pendaftaran parti, maka cita-cita Guan Eng
untuk 'menutup' segala kekotoran parti itu tercapai? Mengapa beria-ia
benar beliau mahu partinya dibatalkan?," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...