Darahsatriadotcom

Sunday, 16 June 2013

UMNO Perlukan Perubahan Segera!

Ahli UMNO diseru supaya mengimbangi antara prinsip perpaduan dan demokrasi dalam pemilihan parti itu pada perhimpunan agung akan datang demi memelihara keutuhan dan kesejahteraan parti. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata jika dua prinsip itu gagal diseimbangkan setiap anggota parti, UMNO mungkin boleh terjerumus dalam perpecahan. 


"Bagi saya UMNO adalah parti paling demokratik dalam Malaysia kerana kita mempertandingkan setiap jawatan. Bukan seperti parti pembangkang di mana mereka lantik jawatan seperti Ketua Umum, Penasihat dan Mursyidul Am. 

"Tetapi pada masa sama prinsip demokrasi perlu diseimbangkan dengan prinsip perpaduan kerana keseimbangan terhadap dua prinsip ini akan membawa kesepakatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pengundi Rembau di kediamannya di Gadong, di sini, hari ini. 

Sambil mengambil contoh pemilihan parti pada 2008 lalu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang dipertandingkan pada waktu itu sudah menyaksikan pertandingan tiga penjuru sehingga menyebabkan ia berpecah kepada tiga puak. 

Beliau yang menang dalam pertandingan itu dengan menewaskan dua lawannya iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Mohamad Khir Toyo mengakui ia adalah cabaran besar dalam menyatupadukan semula anggota sayap Pemuda UMNO dan mengambil masa lama. 

"Tetapi itu tidak menjadi masalah dalam demokrasi namun ia membawa kesan kepada perpaduan dan perpaduan amat penting kepada parti untuk menjadi lebih kuat sekali gus memastikan kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum akan datang," katanya. 


Bagaimanapun katanya, semua itu terletak dalam tangan ahli parti untuk menentukan keputusan pada pemilihan parti itu nanti. 

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...