Bagaimana sistem dan amalan demokrasi terbimbing" berkembang di negara ini. Dalam apa jua keadaan dari dahulu sehingga sekarang, media dalam bentuk akhbar cetak, elektronik iaitu televisyen, laman portal dan blog di samping laman sosial seperti twitter dan facebook telah memainkan peranan untuk mengubah corak pemikiran rakyat ke arah lebih bebas dan terbuka untuk menyuarakan sesuatu perkara.
Walaupun terdapat Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, namun sejak kebelakangan ini, sama ada ahli politik ataupun rakyat biasa sentiasa mahu menguji kekuatan dan pengertian sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia.
Maka tidak hairanlah beberapa pengguna laman sosial baru-baru ini ditahan kerana menghina institusi raja-raja Melayu dan nabi Muhammad SAW. Mereka yang terlibat ini ialah golongan berpelajaran dan sudah pasti mengetahui akibatnya tetapi masih mahu mencuba nasib agar dapat mempengaruhi orang lain dengan pendapat mereka itu.
Terdapat beberapa akhbar arus perdana baik dalam bahasa Malaysia, Mandarin, Inggeris dan Tamil, masing-masing sentiasa mencuba ke tahap maksimum untuk menyalurkan isu-isu berbaur perkauman, sentimen politik dan juga mengenai isu-isu keagamaan yang kadang-kadang agak ekstrem.
Sejak berkembangnya pengunaan internet di negara ini, rakyat bebas untuk mengulas, mengkritik dan menyuarakan pendapat mengenai isu-isu semasa dalam kalangan rakan, komuniti atau kumpulan yang mereka bentuk. Isu-isu dibahaskan dengan bebas asalkan tidak menggugat kestabilan politik, menjejaskan keselamatan negara atau menyentuh kedaulatan undang-undang dan keluhuran kuasa Raja-raja Melayu yang kesemuanya berpaksikan kepada Perlembagaan Malaysia.
Proses demokrasi di negara ini turut menyaksikan terbentuknya ruang yang semakin besar untuk rakyat menyuarakan pendapat secara terbuka dan bebas memperkatakan ketidakpuasan hati di khalayak ramai khusus sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.
Menariknya, tatkala berlaku perbezaan pendapat selain daripada yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan, maka mulalah terdengar suara-suara kesal dan kecewa tentang penghapusan ISA itu sebaliknya minta dikembalikan segera.
Secara tidak langsung terdapat kebenaran tentang kekuatan akta itu bagi melerai atau mengembalikan suasana keamanan negara daripada diganggu gugat oleh segelintir rakyat yang mahu mengeruhkan keharmonian negara.
Bagaimanapun, pada hakikatnya sejarah ISA itu perlu dilupakan sebaliknya rakyat dan kerajaan hari ini perlu melihat kepada perspektif yang lebih luas daripada ruang lingkup dunia kepartian dan politik yang berlandaskan ras, agama dan keturunan. Keputusan PRU-13 adalah satu senario dan sentimen politik di luar jangkaan umum telah berlaku.
Pemilihan wakil daripada parti-parti komponen dalam BN tidak lagi sekuat seperti dahulu, sebaliknya semakin banyak rakyat menyokong parti-parti pembangkang seperti yang terjadi pada PRU-13 dengan BN memperoleh 133 kerusi Parlimen, DAP 38, PKR 30 dan Pas 21. Jika dahulu BN dengan yakin memperoleh dua pertiga kerusi majoriti Parlimen tetapi sejak PRU pada tahun 2008 dan 2013, nampaknya penguasaan dua pertiga itu sudah menjadi satu mitos sebaliknya berjaya mengekalkan status quo" merupakan satu kejayaan bagi BN.
Perubahan landskap politik, sosiobudaya dan ekonomi negara yang sedang berlaku hari ini di dalam dan luar negara perlu dilihat sebagai sesuatu yang penting dan bakal menentukan hala tuju politik Malaysia, rantau ASEAN dan seterusnya Asia.
Apa yang diperhatikan ialah bagi kebanyakan generasi muda atau Generasi Y hari ini, mereka melihat demokrasi itu sebagai sistem yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada rakyat untuk bersuara, mendapatkan hak individu untuk menjalani kehidupan. Setiap perjuangan mereka landaskan kepada hak asasi manusia".
Ada seorang rakan dari luar negara memberi pendapat: Saya rasa sistem demokrasi di Malaysia berbeza dengan yang diamalkan di United Kingdom, Eropah dan Amerika Syarikat. Anak-anak muda yang berdemonstrasi (rujuk kepada tunjuk perasaan tidak puas hati keputusan PRU-13) itu mungkin merasakan mereka tinggal di luar negara. Apa yang jelas di Malaysia, saya lihat terdapat toleransi di mana rakyat pelbagai kaum dan anutan agama boleh hidup bersama-sama dalam sebuah negara tetapi pada masa yang sama mereka lebih selesa bekerja dan bersosial dengan kaum mereka sendiri."
Dalam pada itu, parti-parti pembangkang yang sering menguji kerajaan dengan pelbagai tuntutan dan kadang-kadang seolah-olah mencabar kesahihan dan keluhuran undang-undang negara semakin popular dalam kalangan anak-anak muda yang mencari-cari sesuatu yang panas, budaya baharu dan juga idola politik yang dirasakan bersesuaian dengan jiwa memberontak mereka.
Dalam masa sama, kerajaan BN yang dianggap sudah matang ekoran pelbagai rintangan dan masalah yang menjejaskan keharmonian perkauman seperti tercetusnya tragedi 13 Mei 1969, kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah yang berlaku sebelum PRU-13, peristiwa perpecahan UMNO sehingga tertubuhnya Parti Semangat 46 pada 1988 tetapi dibubar pada 1996 telah ditangani dengan baik oleh para pemimpin UMNO sendiri.
Kematangan para pemimpin UMNO dan parti-parti komponennya berserta kewibawaan tinggi pasukan keselamatan negara termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membendung pelbagai masalah dan tentangan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab selama ini sudah pasti mampu membendung keadaan semasa dengan yakin dan profesionalisme yang tinggi.
Pihak kerajaan dan pembangkang walaupun tidak sehaluan dalam memperjuangkan sesuatu isu, namun pada penghujungnya mereka sudah tentu mahukan rakyat menikmati kesejahteraan hidup dalam negara yang semakin makmur dan bukan sebaliknya kerana itulah tujuan sebenar mereka dipilih dalam PRU-13.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...