Darahsatriadotcom

Thursday, 18 July 2013

Duta Vatican Lebih Mulia Dari PR!

Seperti biasa, Malaysia dan orang Melayu yang terkenal sebagai ‘pemaaf’, telah memaafkan Duta Vatican yang mencetuskan kontroversi dengan mencampuri undang-undang dalam isu penggunaan Kalimah Allah dalam Injil yang diterjemah. 
 
Archbishop Joseph Marino telah membuat permohonan maaf secara rasmi setelah ditempelak oleh Menteri Luar, Dato’ Anifah Aman agar jangan mencampuri urusan dalaman negara ini. 

Nampaknya, Marino telah tersedar yang beliau berada di negara Islam dan tidak wajar membuat kenyataan provokasi yang mampu mencetuskan huru-hara dan membahayakan diri sendiri.  Bagaimanapun, kita percaya yang beliau merasa bertuah kerana terlepas cakap di Malaysia, bukan di Pakistan atau Arab Saudi di mana beliau mungkin sudah ‘kehilangan kepalanya’ sejurus selepas kenyataan seperti itu dibuat. 

Keberanian Marino menyentuh isu tersebut dilihat berpunca dari sikap pembangkang, terutamanya PAS yang pernah menyokong agar Kalimah Allah digunakan dalam Injil berbahasa Melayu.   Mungkin menyangka terdapat umat Islam yang turut menyokong tuntutan pihak Kristian itu, maka Marino merasakan ia selamat untuk dibangkitkan. 

Dan mungkin beliau percaya yang DAP, PKR, malah PAS akan turut mempertahankannya jika berlaku kontroversi di mana akhirnya pihak Kristian akan menang apabila isu tersebut mendapat liputan ke seluruh dunia. Segalanya mungkin, tetapi buat masa ini kita bersyukur kerana ia tidak berlarutan setelah beliau pantas meminta maaf. 

Sebagai umat Islam, kita tidak harus mempertikai tindakan murni beliau meminta maaf dan wajib menerima kemaafannya, seadanya. 
 
Namun, kita masih tertunggu-tunggu pihak pembangkang meminta maaf dalam isu yang sama.  Sehingga kini, Lim Guan Eng yang membangkitkan isu ini dalam perutusan Krismasnya, masih lagi tidak meminta maaf. 

Malah, terus angkuh seolah-olah tidak pernah menyinggung sesiapa. 
 
PAS yang flip-flop dalam isu ini juga tidak pernah meminta maaf malah menafikan yang parti itu pernah senada dengan Lim Guan Eng mempertahankan tuntutan pihak Kristian.  PKR juga tidak pernah meminta maaf kerana bersubahat dengan Lim Guan Eng menyinggung perasaan umat Islam dengan tidak pernah menegur beliau. 

Hakikatnya, Pakatan Rakyat tidak pernah meminta maaf atas apa-apa pun jua.  Setiap kesalahan dan kesilapan mereka akan dinafi dan diabaikan saja walaupun setelah terkantoi dan terbukti yang mereka bersalah.   
 
Pakatan Rakyat langsung tidak pernah mempromosi nilai-nilai murni dalam masyarakat. 
 

Parti itu merupakan pelopor sikap biadap dan kurang ajar di kalangan anak muda sehingga membawa kepada politik caci, maki-hamun, benci, carut dan lucah yang kronik.  Parti itu juga yang mempromosi sikap derhaka pada Sultan serta samseng, walaupun di dalam sidang Dewan yang rasmi.  

Strategi politik Pakatan Rakyat pula semuanya berkisar soal melanggar undang-undang, membuat onar, huru-hara, anarki serta mencabar pihak berkuasa. 
 
Walaupun strategi mereka sering menyusahkan rakyat, merugikan peniaga, mencederakan malah membawa kematian penyokong mereka yang mengalami masalah kesihatan, mereka tidak sekali pun meminta maaf. 

Dalam semua keadaan, mereka terus mendongak angkuh dan tidak malu dengan sikap kebinatangan mereka.  
 
Sebagai pejuang Kristian tegar, Lim Guan Eng wajar mencontohi Marino yang pantas meminta maaf apabila bersalah.  Atau mungkin, Marino yang perlu mendakwahkan Lim Guan Eng berkenaan nilai-nilai murni kemanusiaan memandangkan Nik Aziz telah gagal berbuat demikian.   

Apa guna Lim Guan Eng bermati-matian memperjuangkan Kristian, jika diri sendiri tidak mengamalkan ajarannya? 
 
Atau mungkinkah Lim Guan Eng gagal menjadi Kristian yang baik kerana tidak faham perkataan ‘Father’ di dalam Injil yang dibacanya?

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...