Masih ada maklumat sulit berhubung pencerobohan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah yang belum didedahkan kepada masyarakat umum, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata, pihaknya menyimpan maklumat itu kerana tidak mahu menjejaskan perjalanan prosiding mahkamah yang kini dalam proses pendakwaan.
"Masih ada lagi yang belum diceritakan mengenai mengapa semua ini terjadi, kita akan menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannya kerana sukar untuk menerima hakikat kira-kira 200 orang berpakaian celoreng dan bersenjata secara tiba-tiba muncul," katanya kepada pemberita selepas forum anjuran Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (Midas) di sini hari ini.
Forum yang turut disertai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin itu membincangkan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Sabah.
Menurut Khalid, pihaknya akan mendedahkan maklumat sulit mengenai pencerobohan itu kepada masyarakat umum apabila tiba masanya.
"Kita tidak boleh mengganggu proses mahkamah, masanya akan tiba untuk mendedahkannya, sama ada pendedahan itu mengejutkan atau tidak, kita tunggulah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...