Dua Ahli Parlimen, empat aktivis mahasiswa dan
seorang anggota Sekretariat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dihadapkan ke
Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melanggar Akta Perhimpunan
Aman 2012 dalam perhimpunan Black 505 di Padang Merbok, bulan lalu.
Ahli Parlimen Pandan, Mohd. Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban,
Anthony Loke Siew Fook bersama aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd. Halim,
Muhammad Safwan Anang @ Talib, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, Mohamed
Bukhairy Mohamed Sofian dan anggota sekretariat PKR, Muhammad Adib Ishar
mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berlainan.
Mohd. Rafizi, 36, Siew Fook, 36, dan Muhammad Adib, 24, didakwa
bersama seorang lagi yang masih bebas gagal mematuhi syarat-syarat yang
ditetapkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP)
Zainuddin Ahmad yang memerlukan mereka mendapatkan kebenaran daripada
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menggunakan Padang Merbok untuk
perhimpunan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Padang Merbok, Jalan Parlimen di sini antara pukul 2 dan 6 petang, 22 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012
dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa atas pertuduhan pilihan, gagal memaklumkan kepada
polis mengenai perhimpunan itu iaitu 10 hari sebelum ia diadakan pada
masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) akta sama yang
boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta tersebut yang membawa hukuman
denda sehingga RM10,000.
Menurut undang-undang, Rafizi dan Siew Fook akan hilang kelayakan
sebagai Ahli Parlimen sekiranya jumlah denda ditetapkan melebihi RM2,000
jika mereka didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh mencadangkan jaminan RM5,000
dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam N. Surendran dan Keppy Wong
yang mewakili Mohd. Rafizi dan Muhammad Adib membantah atas alasan kes
saman tidak memerlukan jaminan untuk dibebaskan.
Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan ketiga-tiga mereka
dikenakan bon jaminan RM3,000 tanpa cagaran dan menetapkan pengurusan
kes pada 23 September ini dan perbicaraan pada 7 Oktober depan.
Peguam Latheefa Koya turut mewakili Rafizi dan Muhammad Adib dalam kes tersebut manakala Siew Fook diwakili peguam Thomas Su.
Sementara itu, Adam Adli, 24, Muhammad Safwan, 24, Ekhsan Bukharee,
22, dan Mohamed Bukhairy, 23, pula didakwa menyertai perhimpunan yang
diadakan di kawasan larangan, Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya
antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.15 petang, 22 Jun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012
dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan
hukuman denda maksimum RM20,000.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ishrakh Saad yang mengendalikan
pendakwaan kes itu mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin
bagi setiap tertuduh.
Mat Ghani bagaimanapun menetapkan bon jaminan RM2,000 tanpa cagaran
serta menetapkan pengurusan kes pada 23 September ini manakala
perbicaraan bermula 21 Oktober depan.
Adam Adli diwakili Surendran manakala tiga lagi aktivis mahasiswa diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...