Darahsatriadotcom

Tuesday, 2 July 2013

Persidangan Minggu Pertama Yang Hangat..

Minggu pertama sidang Dewan Rakyat tepat sebagaimana dijangka, berlangsung dalam suasana hangat terutama dengan keghairahan pembangkang yang kini mempunyai 89 wakil di Parlimen. Ini permulaan yang baik apabila perbahasan berkualiti cuba ditampilkan meskipun ada beberapa wakil rakyat secara sengaja membelakangi Peraturan Mesyuarat dengan menggunakan bahasa kesat.

Gabungan ramai muka baru dan orang lama dari pelbagai latar belakang juga berjaya meningkatkan daya intelektual ahli dewan semasa sesi perbahasan walaupun ada kalanya perkara tidak relevan turut dibangkitkan.

Namun kehilangan wakil rakyat Bebas seperti Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin, yang pada sesi lalu sering kali bangkit mempertahankan hak bumiputera amat dirasai apabila belum ada lagi suara lantang seperti itu kedengaran.

Baik wakil rakyat dalam kalangan Barisan Nasional (BN) mahu pun pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang, masing-masing nampaknya mengambil pendekatan selamat buat masa ini untuk tidak membangkitkan isu bumiputera di Dewan Rakyat.

Memulakan sidang pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuntut pembangkang menerima keputusan pilihan raya umum dengan muktamad kerana langkah itu prasyarat utama dalam menjayakan perdamaian nasional.

Seruan itu jelas kerana usaha ke arah perdamaian nasional bagi mengatasi polarisasi kaum tidak akan mencapai kejayaan jika pembangkang memilih demonstrasi jalanan untuk membangkitkan kebencian rakyat dengan niat mencetus huru-hara.

Selain itu, isu lain yang turut menjadi perbahasan ialah penggunaan dakwat kekal, undi popular, perhimpunan haram, penghinaan terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, cadangan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan harga rumah.

Bagaimanapun niat pembangkang menjadikan sesi Dewan Rakyat kali ini sebagai pentas politik untuk membangkitkan isu dakwat kekal dan undi popular terbatas berikutan persiapan rapi wakil rakyat BN.

Paling mencuri tumpuan kemunculan semula 'otai' Tan Sri Annuar Musa selepas 13 tahun meninggalkan Dewan Rakyat dan kehadiran beliau pantas meninggalkan kesan kepada pembangkang melalui mutu dan kepetahan berhujah.

Beliau langsung tidak kekok untuk berdepan dan berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara gentleman sehingga Ketua Pembangkang itu biarpun diakui pemidato hebat, jenuh juga 'bersilat' menangkis asakan Ahli Parlimen Ketereh tersebut.

Malah tanpa sebarang rasa bimbang diserang pembangkang, Annuar melabelkan Ketua Pembangkang itu sebagai 'syaitan dikenali' dan pemimpin talam dua muka yang hanya pandai memperalat rakyat dengan janji-janji manis.

"Saya akui ada beberapa wakil rakyat BN cukup bimbang untuk berdepan dengan Ketua Pembangkang kerana kebanyakan mereka pernah berada di bawah Anwar dahulu.

"Anwar ini kehebatan dia hanya pandai berpidato manakala dari segi prinsip, idea serta kemampuan mengurus boleh dipertikaikan. Saya kenal lama Anwar, jadi saya tiada sebarang masalah untuk berdepan dengannya pada bila-bila masa," katanya.

1 comment:

  1. Otai besar The Red Warrior katakan...

    ReplyDelete

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...