Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah
menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas kenegaraan bermula di
peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada raja dan negara,
sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, kerajaan perlu mengasuh kanak-kanak melalui kurikulum
serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati simbol lain
seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak atau
dijadikan pakaian.
Tanpa pendidikan sedemikian, baginda khuatir akan muncul lebih ramai
individu seperti pengguna Facebook dengan nama Melissa Gooi yang
baru-baru ini ditahan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina
Yang di-Pertuan Agong akibat kejahilannya tentang fungsi raja-raja di
negara ini.
Kurikulum kandungan dan kaedah pengajaran mengenai aspek kenegaraan
yang benar-benar dihayati hendaklah segera diperkenalkan tanpa
bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di sekolah, malah
maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam urusan
lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam," titah baginda.
Baginda bertitah demikian dalam majlis Syarahan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) 2013 bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum Ke-13:
Permuafakatan dan Perpaduan Nasional di Wisma Perwira ATM, Kementerian
Pertahanan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Sementara itu, di sebalik kritikan pelbagai pihak terutama para
pemimpin pembangkang terhadap Utusan Malaysia, Dr. Nazrin bertitah
mempertahan akhbar itu yang disifatkan baginda tidak mengamalkan
diskriminasi kaum.
Dengan mengambil contoh tulisan Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan
Utusan, Datuk Zaini Hassan melalui kolum Cuit baru-baru ini, baginda
bertitah, kupasan Zaini mengenai situasi Melissa Gooi membuktikan akhbar
itu membela wanita berketurunan Cina tersebut.
Titahnya, tulisan Zaini yang diterbitkan Utusan Malaysia pada 5 Jun
lalu bertajuk Salahkah Melissa Gooi? Ajarlah Asas Perlembagaan di
sekolah meningkatkan keyakinan baginda majoriti rakyat negara ini tidak
bersifat perkauman, sebaliknya insan berjiwa rasional dan berfikiran
waras.
Malah, baginda turut memuji Zaini yang disifatkan berjiwa besar dan
contoh semangat seorang Malaysian yang secara tegas melahirkan pandangan
kritis atas prinsip kebenaran meskipun percaya Zaini tidak mengenali
Melissa Gooi.
Beta tidak kenal Zaini Hassan secara peribadi tetapi mengikuti
rencana tulisan beliau, Melissa Gooi adalah rakyat Malaysia berketurunan
Cina sementara Zaini, wartawan kanan, bukan sahaja berketurunan Melayu,
berwajah Melayu, berdarah Melayu, malah bertugas dengan akhbar Utusan
Malaysia yang dilabel setengah pihak sebagai akhbar yang meniup api
perkauman.
Apa jua jenama negatif yang dilabelkan terhadap Utusan Malaysia,
akhbar tersebut tidak melakukan diskriminasi untuk tidak menyiarkan
rencana yang bernada membela situasi seorang anak gadis keturunan Cina,"
titah baginda.
No comments:
Post a Comment
Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...