Darahsatriadotcom

Saturday, 6 July 2013

Tragedi Jadi Pengajaran!

Insiden Presiden Mohammed Mursi yang digulingkan oleh tentera Mesir perlu dilihat sebagai pengajaran berguna kepada rakyat tentang kepentingan mempertahankan kedaulatan negara.

Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pengalaman hitam itu juga telah meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat dan peranan kerajaan bagi menangani situasi tersebut.

Katanya, insiden tersebut bukan sahaja dilihat sebagai satu pertembungan nilai berkenaan politik semata-mata, malah turut melibatkan perkara lain.



"Walaupun insiden tersebut berlaku di Mesir, rakyat di negara ini juga harus sentiasa berwaspada dan jika kita gagal menghadapi dan mengatasi permasalahan nilai, maka negara ini juga akan mengalami konflik yang sama.

"Kita akan bertembung sesama kita dan sesama ummah," katanya ketika ditemui semasa memulakan tugas rasminya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Tentera Mesir menggulingkan Mohammed Mursi selepas seminggu tunjuk perasaan besar-besaran yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terbunuh di negara itu. Tambah Rais, pemikiran di peringkat pengajian tinggi dan juga di peringkat pentadbiran kerajaan perlu diterapkan supaya nilai universal dihormati.

"Senario yang kini dilihat lebih cenderung menolak ajaran menerusi sunah Nabi serta al-Quran dan menerima peperangan akan diatasi bersama melalui pendidikan di universiti.

"Sistem pendidikan tidak hanya lagi tertumpu pada bidang akademi malah perlu ke arah keharmonian," jelasnya.

Katanya, amat bahaya bagi mereka yang mencuba merampas kuasa menggunakan elemen Arab Spring yang jelas mampu menggugat kejaguhan politik dan perjuangan ummah di negara ini.

"Pun begitu, saya percaya peristiwa hitam tersebut tidak akan berlaku di negara ini kerana tunggak-tunggak demokrasi kita amat jelas serta dipagar dengan sistem Perlembagaan yang kukuh," katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang komen yang diberikan... Harap komen yang diberikan tidak berbaur perkauman dan tidak berunsur lucah...