Memang ada logiknya Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin berpegang kepada keputusan untuk tetap mahu
melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 6 September
ini.
Ini disebabkan PPPM itu sendiri dicapai hasil pertemuan dengan rakyat
pelbagai lapisan yang mengutarakan pelbagai isu pendidikan - yang
disifatkan suatu program luar biasa dalam sejarah pendidikan negara.
Sebenarnya, tidak ada sudahnya pun untuk kita melayan kehendak dan
tentangan menggila Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus
Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).
PPPM dihasilkan dari Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) 2012
yang diadakan sejak 29 April tahun lepas di 15 lokasi di seluruh negara.
Dalam suatu pertemuan penulis dengan Pengerusi Panel Dialog itu, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin, beliau sendiri melabelkan dialog berkenaan sebagai sesuatu yang 'fantastik'.
Dalam program tersebut, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai
latar belakang dan kaum tanpa mengira ideologi diberi ruang untuk
meluahkan apa sahaja yang terbuku dalam hati serta berpeluang
mengesyorkan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan.
Malah, 11 lagi ahli panel menyanjungi usaha Kementerian Pendidikan
menggerakkan dialog tersebut untuk merasai sendiri denyut nadi rakyat.
"Merata-rata saya pergi (ke negeri-negeri berkenaan), mereka (orang
ramai) datang bersemangat tanda respons mereka pada kerajaan.
"Kalau kita lihat dalam satu-satu dewan itu, bukan 70 orang yang datang tetapi rata-rata di setiap lokasi melebihi 700 orang.
"Di Pulau Pinang sebagai contoh, kita terpaksa bahagikan pula kepada
dua seksyen... malah pemimpin UMNO, DAP dan PKR duduk semeja dalam
dialog tersebut, di Tawau sesak manakala di Kelantan lebih 1,020 yang
hadir.
"Ini menunjukkan isu- isu pendidikan dirasakan semua orang dan merentasi segala perbezaan politik dan ideologi," katanya.
Sebenarnya DNPN yang menghasilkan PPPM merupakan satu inisiatif
Kementerian Pendidikan di bawah Kajian Semula Pendidikan. Ia adalah
wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan
masyarakat yang dapat dijadikan input kepada kementerian itu dalam
menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan.
Objektif dialog itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat
mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan serta
membina kesedaran bersama akan perancangan kementerian dalam
membangunkan pendidikan melalui transformasi sistem pendidikan negara.
Dialog tersebut menggunakan konsep townhall di mana orang ramai dijemput hadir secara walk-in
di lokasi yang strategik bagi membolehkan mereka bebas untuk memberikan
pandangan, kritikan dan cadangan yang akan dijadikan imput bagi Pelan
Pembangunan Pendidikan untuk jangka masa 15 tahun akan datang.
Wan Mohd. Zahid sendiri dan beberapa lagi panel berada pada setiap townhall
itu bagi mendengar luahan dan aspirasi rakyat, luahan serta pandangan
ini akan menjadi asas kepada Pelan Pembangunan Pendidikan itu.
Selain menggunakan kaedah townhall, pihaknya turut mengadakan
pertemuan meja bulat dengan kumpulan tertentu seperti beberapa
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan kesatuan guru, media, kumpulan
komuniti, pesara, wakil politik dan lain-lain lagi.
Bagi perjumpaan meja bulat itu, pihaknya hanya mengehadkan kepada 15
hingga 20 individu bagi sesuatu persidangan bagi memberi peluang kepada
mereka bercakap lebih lama.
Daripada siri persidangan meja bulat bagi dialog tersebut, rata-rata respons yang diberikan sangat memberangsangkan.
Kata Wan Mohd. Zahid kepada penulis: "Walaupun berlainan ideologi dan
fahaman politik, kumpulan-kumpulan ini mengamalkan sikap profesional
dalam menyuarakan pendapat bagi kebaikan masa depan sistem pendidikan
negara.
"Tidak keterlaluan saya katakan bahawa pendidikan mampu menyatukan
pelbagai pihak dan mendapati rakyat negara ini sepakat bahawa pendidikan
berkualiti adalah penting bagi memastikan negara dapat bersaing di
peringkat global."
Dianggarkan lebih 11,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat telah hadir bagi menyertai dialog berkenaan.
Panel dialog juga dengan tangan terbuka sentiasa menerima input
daripada masyarakat sama ada secara lisan ataupun bertulis, menghantar
memorandum dan sebagainya.
Penggunaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter turut mendapat
respons positif daripada masyarakat berhubung kajian semula pendidikan
itu.
Wan Mohd. Zahid menambah, dalam dialog tersebut, pihaknya memberi
peluang sepenuhnya kepada orang ramai untuk menyatakan pendapat,
kritikan dan cadangan bagi diguna pakai dalam kajian semula pendidikan
negara ini.
Pihaknya telah menganalisis sembilan perkara yang dikenalpasti merupakan keutamaan dalam transformasi pendidikan negara.
Antaranya adalah guru, aspirasi, kokurikulum, kepimpinan sekolah,
kualiti sekolah, kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian Kementerian
Pelajaran Malaysia dan sebagainya.
Kata beliau kepada penulis: "Kita mengambil pendekatan tidak mahu
campur tangan dalam proses dialog itu. Bila kita bagi penerangan kita
sebut, kita minta dia nyatakan pandangan mereka kepada sembilan perkara
keutamaan yang telah dikenal pasti.
"Namun, mereka juga boleh mengutarakan keutamaan lain daripada sembilan keutamaan itu.
"Penglibatan kita sangat minimum, kita lebih memberi peluang kepada
mereka menyatakan pendapat, pandangan mereka. Kalau dia tanya "bersetuju
tak", kita tidak akan memberi jawapan kerana itu pandangan mereka. Kita
sebenarnya mahu dengar pandangan dia."
Jadi, kalau begitu kenyataannya bermakna PPPM adalah hasil suara dan hak rakyat pelbagai lapisan dan kaum.
Maka dengan ini, bertepatanlah ketegasan Muhyiddin bahawa kerajaan
tidak akan tunduk atau berasa takut dengan desakan Dong Zong kononnya
PPPM akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah-sekolah vernakular.
Malah agenda Dong Zong menyuarakan tuntutan terbabit amatlah diragui
apabila Muhyiddin secara terbuka mencabar pertubuhan Cina itu membaca
dan meneliti isi kandungan pelan berkenaan - yang tidak menyebut
langsung usaha memansuhkan bahasa Mandarin atau sekolah jenis kebangsaan
(SJK) Cina dan Tamil.
Kita tidak tahu apa sebenarnya agenda Dong Zong.
Apa yang dilakukan oleh Dong Zong menentang PPPM sama dengan apa yag pernah dilakukan Liga Belia Komunis menentang dasar pendidikan Inggeris.
ReplyDelete